‘Aku rasa macam orang asing sangat’ – Pemandu lori ini rasa diri ‘jauh’ selepas masuk sekolah tahfiz

Rasa dirinya macam orang asing. Itulah perasaan dialami seorang pemandu lori yang yang menghantar barangan di sebuah sekolah tahfiz di Gua Tempurung, Perak.

Menerusi klip video pengakuannya yang tular itu, dia meluahkan perasaan itu selepas berhadapan ustaz dan pelajar di situ.

Lelaki berkenaan mengaku dengan penampilannya berambut perang itu jauh berbeza dengan penghuni dan pengajar di pusat pendidikan tersebut.

“Dengan penampilan Wak begini, rambut kuning, berwarna, masuk sekolah tahfiz, ada pelajar dan ustaz.

“Aku rasa macam orang asing sangat. Mereka macam biasa. Kita sendiri akan rasa diri kita macam ‘jauh’ dah pergi,” ujarnya.

Sekumpulan murid sekolah pondok sedang menelaah al-Quran dipimpin guru mereka – Gambar hiasan

Dia juga menceritakan telah memberikan diskaun sewa lori itu tanpa mendapatkan kebenaran majikannya terlebih dahulu.

“Tauke letak RM300, tapi dapat RM280. Aku potong (beri diskaun) lagi bagi RM250 sewa.

“(Harap) adalah (ganjaran) akhirat aku punya nanti,” katanya.

Dalam masa sama, dia turut berseloroh dengan mencadangkan tiga rakan sekerjanya supaya belajar di pusat tahfiz itu.

“Nanti aku jawab dengan tauke kenapa (letak harga sewa lori hanya) RM250.

“Tak sampai hati. Harap adalah bekalan akhirat sikit,” katanya lagi.

Rata-rata warga maya berpendapat perasaan pekerja tersebut menggambarkan imannya masih tebal.

“Allah tidak pandang penampilan. Allah SWT pandang pada iman, amal dan keikhlasan hati.

“Kadang-kadang cara beginilah Allah SWT nak tegur supaya kita kembali bertaut pada-Nya. Hanya hamba yang terpilih bang utk mrasainya mcm abg..

“Alhamdulillah sangat jika ada terasa begitu. Siap buat video kongsi apa perasaan rasa.

“Orang baik tak tengok luaran bang. Mereka tak anggap apa-apa pun, sentiasa nampak elok dan baik je dan tetap menyalurkan kebaikan.

“Itu sebab kita sentiasa sayang anak tahfiz dan anak yang soleh kerana mereka seperti kain putih. Lihat muka mereka pun dah sejuk mata memandang,” demikian antara kata warga maya.

BACA JUGA Isu lama plat nombor kereta dikitar semula berulang-ulang, Ahli Parlimen Bentong ini ingatkan sama jangan fitnah JPJ