Anak-anak berputih mata? Ayah salurkan wang RM69 juta kepada 10 badan kebajikan

Anak-anak berputih mata? Ayah salurkan wang RM69 juta kepada 10 badan kebajikan bagi mewasiatkan hartanya.

Harta tersebut akan diagihkan kepada 10 badan kebajikan berdaftar di Singapura selepas dia meninggal dunia nanti.

Menurut Loh Kiong Poot, 79, wasiat itu dibuat ketika beliau berusia 50 tahun.

Wang berkenaan ketika ini dilaburkan dalam bon, namun dikhaskan ke atas 10 penerima tersebut daripada awal.

Keputusan itu katanya, amat yakin anak-anaknya mampu berdikari dan mempunyai harta yang cukup untuk meneruskan hidup.

Walau bagaimanapun, Loh menegaskan ini bukanlah bermakna bahawa beliau tidak meninggalkan langsung apa-apa harta buat keluarganya.

“Sudah tentu, saya akan meninggalkan sedikit harta buat mereka (anak-anak) dan isteri saya, iaitu beberapa aset hartanah,’ katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Loh sering menyumbang dana kepada badan-badan kebajikan sejak tahun 1990-an lagi.

Terbaru, beliau menyumbangkan kira-kira SG$3 juta (RM10.40 juta) terhadap enam buah badan kebajikan pada 2022. Ketika itu, beliau turut berazam bahawa sumbangan tersebut dapat dijadikan aktiviti tahunan.

Selain itu, beliau turut dilapor menyumbangkan kira-kira SG$500,000 (RM1.7 juta) setiap tahun kepada The Straits Times School Pocket Money Fund (STSPMF) sejak 2018.

Secara keseluruhan, Loh dianggarkan telah membuat sumbangan sebanyak SG$2.5 juta (RM8.66 juta) kepada badan tersebut setakat ini.

Menurut AsiaOne lagi, Loh berpegang kepada beberapa prinsip berkenaan harta dalam hidupnya. Usahawan itu percaya, sekiranya manusia tidak dilahirkan dengan duit, mereka juga tidak patut meninggal dunia dengan duit.

“Jika anda memiliki wang yang lebih, kenapa mahu menyimpannya? Jika anda boleh menderma dan membantu orang lain, silakan menderma. Itu prinsip saya,” katanya.

Menurut The Straits Times, Loh merupakan seorang ahli perniagaan yang menceburi industri perdagangan bermula pada tahun 1974.

Selepas berkecimpung dalam dunia perniagaan selama 16 tahun, beliau membuat keputusan untuk bersara pada 1990 iaitu, ketika berusia 47 tahun.

Loh turut berkongsi bagaimana dirinya pernah bersusah payah untuk menyara diri selepas berhenti sekolah.

Sebelum menjadi usahawan yang berjaya, beliau pernah mencari rezeki dengan membuat pelbagai kerja termasuk menjadi pembantu kedai runcit, dengan upah sebanyak S$20 (RM69.30) sehari.

Baca juga: Alif Satar terkejut ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ 3,000 orang, siap joging berkain pelikat lagi