Anak-anak hanya tengok Ayah tercinta nazak dalam zoom meeting sahaja

Walau tidak dapat berada di sisi secara fizikal, namun 11 anak Jusoh Muda, 83, sempat ‘bersama’ bapa mereka hingga mangsa kebakaran sebuah rumah tiga hari lalu itu menghembuskan nafasnya terakhir pagi Khamis.

Anaknya, Zailah Jusoh, 47, berkata, mereka sekeluarga termasuk cucu arwah sempat ‘berkumpul’ di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) secara maya melalui aplikasi Zoom Meeting pada jam 5.43 pagi selepas dimaklumkan keadaan terkini bapanya.

“Kebetulan seorang anak saudara juga ada di hospital, jadi kami 11 beradik bersama cucu dapat zoom meet dengan ayah hingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.

Jusoh yang mengalami kecederaan 50 peratus melecur akibat kebakaran rumah disahkan meninggal dunia pada jam 6.31 pagi di HSNZ.

Menurut Zailah, walaupun sedih, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah selepas tiga hari kehilangan ibu, Fatimah Mohd, 79, yang meninggal dunia dalam kejadian kebakaran berkenaan.

Jenazah Jusoh akan disemadikan di sebelah kubur isterinya di tanah perkuburan Makam Lama, Chabang Tiga pada Khamis.

Pada Isnin, seorang wanita warga emas ditemui maut manakala suaminya melecur selepas kediaman mereka hangus dijilat api.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi itu, mangsa, Fatimah Mohd, 79 tahun, maut selepas terperangkap di dalam kediaman tersebut.

sumber : Sinar Harian