Anak Hamzah Zainuddin didakwa terima rasuah RM100,000

Anak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini mengaku dirinya tidak bersalah di Mahkamah Sesyen ke atas satu pertuduhan bagi mendapatkan tender menggunakan rasuah sebanyak RM100,000 pada enam tahun lalu.

Dia yang juga perunding syarikat, Muhammad Faisal, 40 yang memakai pakaian berwarna hitam membuat pengakuan selepas pertuduhan dibaca oleh Hakim, Rozina Ayob.

“Saya mengaku tidak bersalah,” kata bapa kepada empat anak ini.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menerima rasuah daripada seorang individu sebagai ganjaran bagi memastikan Heitech Padu Berhad melantik syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Per My Solutions sebagai konsultan pemasaran menggunakan pengaruh yang dimilikinya.

Kemudian, kedua-dua syarikat tersebut menerima komisen sebanyak RM700,000 selepas Heitech Padu dianugerahkan tender bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk ‘Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure’ di sebuah pejabat di Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, pada Mac 2018.

Pertuduhan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan agar anak bekas Menteri Dalam Negeri tersebut diberikan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM di sini dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

“Mahkamah perlu mengambil latar belakang tertuduh pada kes ini, yang mana dia merupakan seorang anak bekas menteri. Bagaimanapun, peguam, Ravinder Singh Dhalliwal merayu agar anak guamnya, diberi ikat jamin pada kadar rendah.

“Pembelaan tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan, namun Muhammad Faisal perlu ke negara untuk pembukaan sebuah asrama di Thailand,” katanya.

Baca juga: Sah peguam wakili ibu bapa Zayn Rayyan tarik diri mulai Selasa, “Saya ada alasan kukuh