Anak Najib mohon rakyat Malaysia doakan ayahnya

Berita dipetik dari Malaysiakini

Menjelang keputusan mahkamah berhubung rayuan sabitan bekas perdana menteri Najib Razak, anak perempuannya Nooryana Najwa berkongsi hantaran media sosial meminta agar orang ramai mendoakan agar ayahnya itu diberi kekuatan dan keadilan.

“Sebagai hamba Allah SWT kita hanya mampu merancang dan mendoakan yang terbaik.

“Berdepan dengan berbagai ujian tetapi kekal tenang, percaya dan yakin dengan kebenaran. Kebenaran di dunia dan di akhirat.

“Doakan agar Daddy diberikan kekuatan menghadapi semua ujian dan cabaran ini, dan semoga keputusan esok memberikan keadilan kepadanya,” katanya dalam hantaran di Instagram petang tadi.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya dijangka menyampaikan keputusan esok sama ada rayuan Najib untuk membatalkan sabitan dan hukuman berhubung kes SRC International bernilai RM42 juta dibenarkan atau tidak.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung kes itu.

Menjelang keputusan esok, Najib dan isterinya Rosmah Mansor telah pergi ke Singapura untuk melawat Nooryana, yang ketika itu bersedia melahirkan anak keduanya.

Prosiding Mahkamah Rayuan pagi esok akan diadakan secara dalam talian berikutan Najib dan beberapa anggota pasukan peguamnya mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19 dan perlu dikuarantin.

sumber : Malaysiakini