Tak semua manusia ada hijab mata yang terbuka, maka mereka tak dapat melihat makhluk halus yang mempunyai pelbagai bentuk dan rupa.
Kadangkala ada yang diberi keistimewaan boleh mendengar sahaja tapi ada yang dapat melihat jelas wajah dan rupa bentuk makhluk itu.
Di bawah adalah perkongsian dari blog Media Cite Heboh.
Salam semua pembaca. Kisah yang berlaku bukanlah cerita yang seram sangat tetapi kita seringkali terdengar tentang gangguan yang berlaku bila mula berpindah ke rumah yang baru yang membuktikan makhluk lain yang tak nampak di mata kasar ini wujud.
Sebelum bermula aku ceritakan sedikit latar belakang hidup aku. Aku ni sememangnya dari kecil peminat mistik dan bila meningkat dewasa aku amat suka ambil tahu dan belajar serba sedikit bila ada kesempatan. Kebetulan menjadi rezeki aku bila mula bekerja di Pulau Pinang, kesempatan terbuka luas.
Kebetulan tuan rumah tempat aku menyewa semasa bekerja di sana adalah pengamal perubatan islam. Jadi aku selalu juga ikut mereka berubat tapi aku bukanlah jenis yang terbuka hijab, boleh nampak benda-benda halus’ ini.
Aku pun tak belajar banyak, cuma sekadar ikut-ikut saja. Cuma kadang-kadang aku dapat merasai kehadiran makhluk-makhluk yang berniat jahat ini. Banyaklah cerita dan kisah yang boleh diceritakan dari pengalaman ikut berubat tu (mungkin jika ada masa boleh di ceritakan satu persatu).
Sekarang yang nak aku sampaikan tentang kisah aku semasa masuk ke rumah pertama yang aku beli. Alkisahnya bermula, aku baru membeli sebuah rumah teres dalam bandar kecil, sesuai kemampuan aku yang baru ada anak dua
Dengan terujanya bila dapat kunci, aku dan isteri pergilah ke rumah untuk buat checking sebelum nak berpindah masuk. Teringat pesanan guru aku dulu, sebelum masuk ke rumah baru buatlah sikit-sikit pembersihan rumah.
Jadi pada malamnya, aku pergi seorang diri untuk tidur di rumah baru sambil bawa air dan garam untuk dibacakan yassin. Selesai bacaan, aku pun buatlah pagar, merenjis rumah dan tabur-tabur garam lepas tu tidur. Tak lena pun, dengan perumahan yang sunyi sebab baru (aku antara yang terawal pindah masuk).
Aku pejam mata dan cuba merasa aura di dalam rumah. Aku dapat adalah rasa sedikit aura yang kurang baik di bahagian dapur dan bilik belakang, “ah, biarlah aku dah buat pagar pun,” kata aku dalam hati.. Lepas seminggu, aku dan isteri pun pindah masuk.
Pada awalnya semuanya ok, keadaan rumah terang tapi selepas dua bulan bermula gangguan- gangguan ringan macam bunyi guli atas silling. Kadang-kadang macam orang berjalan atas bumbung.
Tengah malam kadang-kadang macam dengar orang dok basuh pinggan mangkuk di dapur. Tapi aku diamkan aja, risau isteri pula takut.
Tapi masa tu aku dah mula rasa aura tak baik di dalam rumah. Macam mana rasa? Alah, korang pun biasa rasa. Kadang-kadang bulu roma tegak sampai ke leher, ada rasa macam diperhatikan dan ada juga membayang melintas laju.
Cuma gangguan ni kerap berlaku di bahagian dapur dan bilik belakang. Aku buat dekkk aje tapi aku pesan,” Jangan kacau keluarga aku udah.” Makin lama makin aktif sampai isteri aku bersuara, dia rasa tak berasa selesa bila tinggal sorang-sorang dalam rumah.
Ada sekali tu, anak yang kedua (lima tahun) lari menjerit dari dapur ke ruang tamu. Bila aku tanya, dia bagitau macam ada bayang hitam mengejar Aih, dah makin menjadi. Satu malam, aku terbangun dari tidur, dah menjadi kebiasaan kalau terbangun, aku mesti jenguk anak aku yang tidur di bilik kedua. Maklumlah, dia sorang-sorong dalam bilik tu. Bila aku jenguk rupanya dia tgh menangis.
“Kenapa menangis malam-malam ni?” tanya aku
“Ada hantu usik kakak” jawab dia…
“kat mana?” tanya aku lagi
“Tu… Atas almari baju tu,” jawab anak aku tapi matanya di elakan untuk melihat ke arah yang dia tunjuk. Takut agaknya. Aku tengok tak da apa pun dan tak rasa aura apa-apa pun.
“Tadi ada, dia bertinggung atas almari tu sambil tengok dan gelak kat kakak,” kata anak aku sambil menangis.
Ini sudah lebih, dah mula menampakkan diri dan usik anak-anak. Aku mula terasa panas hati. Kena buat sesuatu ni, dah melampau.
Esoknya aku berjumpa sahabat-sahabat ‘ghostbuster’ aku. Setelah berbincang lebih kurang, semua bersetuju nak buat majlis sikit untuk pagarkan rumah aku.
Selepas tetapkan hari, aku pun buat persiapan dan persiapan nak buat kenduri makan-makan sikit. maklumlah… biasanya geng-geng ni kalau datang, tak kurang 10 orang.
Petang tu, sambil bersembang dengan jiran sebelah, aku jemput la datang kenduri. Kenduri masuk rumah, jiran aku tanya ada buat apa lagi, aku bagitau buat baca Yassin dan pagar rumah.
“Buat kat rumah aku sekali.” Jiran aku minta…
“Ha elok. Buat rumah aku juga,” kata yang sorang lagi…
“Ada kacau-kacau jugak ka,” tanya jiran aku. Aku dapat tangkap, ada tak kena juga kat rumah mereka ini.
Jiran-jiran mula bercerita, ada yang kerap nampak bayang melintas masa dia duk masak-masak (sebab jiran ni meniaga makanan waktu pagi, selalu bangun sebelum subuh). Yang sorang lagi pula bagitau pernah tiba-tiba cawan terbang macam dibaling.
Dan isterinya kerap macam nampak kelibat dalam rumah. Jadi bila bincang-bincang jadilah sederet tujuh buah rumah nak buat pagar juga. Malam tu, setelah buat bacaan Yassin dan beberapa wirid khusus untuk buat pagaran
Geng ghostbuster aku mula merenjis air dan garam ke tujuh rumah kami ni. Alhamdulillah selesai buat. suasana agak rasa ‘ringan dan lapang sikit.
Bagi yang boleh merasa, sebelumnya ada rasa berat sesak dan rimas, gelisah menandakan ada gangguan. Alhamdulillah.
Cuma malamnya, bila nak tidur, baru terlelap (antara tidur dan jaga) macam terdengar riuh rendah orang bertempiaran berlari ke sana ke sini macam kampung kena bom (ini yang aku rasalah). Bila tanya isteri aku, dia pun rasa macam tu.
Esoknya bila berjumpa sahabat yang jadi kepala masa buat pagaran tu, dia bagitau kawasan perumahan kami bahagian belakang dah termasuk dalam perkampungan mereka.
Jangan tanya mereka tu siapa, aku pun tak tahu mungkin bunian mungkin jin, Allahualam. Masa tu perumahan aku di belakang ada bendang luas.
Jadi sahabat-sahabat aku dah minta mereka berpindah ke belakang. Selepas tu dah kurang dengar gangguan, kadang-kadang saja ada tapi dah tak kasar dan anak aku pun dah tak mengadu nampak apa-apa.
Sejauh mana nak mempercayai kisah ini terpulanglah pada diri masing-masing. Tapi makhluk Allah ni wujud cuma tak tercapai oleh mata kasar. Wallahualam