Pelantikan Izzana Salleh, anak bekas menteri persekutuan, Shahrizat Abdul Jalil sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) baru-baru ini menimbulkan kebimbangan terhadap isu pelanggaran etika.
Ini kerana, Izzana dilapor dinamakan dalam saman kerajaan untuk mendapatkan semula RM253.6 juta yang dihutang oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).
Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, tidak wajar memberikan jawatan pengarah kepada individu yang dinamakan dalam saman.
Katanya, kes Izzana perlu selesai terlebih dahulu, sebelum dia boleh dilantik memegang sebarang jawatan.
“Sangat salah untuk kerajaan tak tetapkan pendiriannya. Satu cabang kerajaan mendakwanya, manakala satu lagi memberinya jawatan pengarah.
“Kes itu perlu diselesaikan terlebih dahulu. Kemudian, jika keputusan memihak kepadanya, tiada masalah melantiknya sebagai pengarah.”
Haniff memberi contoh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), badan yang pernah diterajuinya.
Beliau berkata, lembaga pengarah PERDA terdahulu pernah disaman atas dakwaan misfeasans (salah guna kuasa), tetapi apabila kerajaan baharu berkuasa tahun lalu, pengarah sama yang dinamakan dalam saman itu dilantik semula.
sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/12/04/langgar-etika-lantik-anak-shahrizat-sertai-lembaga-pengarah-mdec/