[Analisa]Apa masalah dengan SJK?

Sekolah di Malaysia antara yang dibebankan dengan paling banyak misi – dari pencapaian akademik, jasmani, pembentukan akhlak, penghayatan nilai seni, penguasaan bahasa, pembentukan identiti nasional, ke perpaduan kaum, sehingga tiada tempat untuk pemupukan keupayaan bergembira sepanjang pembelajaran.

Namun demikian, sedar atau tidak, banyak lagi faktor selain sekolah yang mempengaruhi pembentukan pemikiran dan perwatakan seseorang insan, dari keluarga, jiran, rakan, pertubuhan yang dianggotai, institusi pengajian tinggi, agama, tempat kerja, media sosial, hinggalah pengalaman hidupnya.

Justeru itu, andaian bahawa perpaduan masyarakat Malaysia akan tercapai dengan penghapusan sekolah jenis kebangsaan (SJK) mungkin meleset. Apatah lagi seandainya ia dilanjutkan kepada pertikaian bagaimana pula dengan aliran pendidikan sekolah antarabangsa dan sekolah agama? Jikalau jawapannya tidak, bukankah ia bakal mencetuskan ketidakpuasan, dengan tanggapan bahawa sekali lagi SJK dijadikan sasaran untuk dikambing-hitamkan? Dan sudah tentu, ia akan mengeruhkan lagi hubungan kaum dalam masyarakat Malaysia.

Penguasaan bahasa Melayu yang lemah

Apapun, mukadimah ini bukan untuk melindungi kelemahan SJK yang sedia ada. Antara yang dibangkitkan, penguasaan bahasa Melayu yang lemah dalam kalangan pelajar SJK. Dr Nur Farrah Nadia Najib berkongsi pengalaman beliau didatangi seorang remaja Cina yang gagal berkomunikasi dengan bahasa Melayu, sehingga nenek remaja itu terpaksa memainkan peranan sebagai penterjemah – agak terkesan untuk sesetengah masyarakat Malaysia.

Saya tidak bersetuju seandainya penguasaan bahasa kebangsaan dijadikan satu-satunya kayu ukur patriotisme seseorang warga negara, tetapi saya bersetuju bahawa seseorang warga negara harus menguasai bahasa kebangsaan, sekurang-kurangnya untuk komunikasi dalam hidup harian. Tiada yang berani mempertikaikan semangat patriotik Lee Chong Wei, sungguhpun lidahnya kurang petah ketika bertutur dalam bahasa Melayu, kerana bakatnya lebih terserlah bersama raket. Begitu juga, kebanyakan kita bukan pakar bahasa, ada Cina yang bukan hanya tergagap-gagap ketika berbahasa Melayu, malah mandarinnya pun lintang-pukang!

Saya tertarik dengan satu eksperimen yang dijalankan Unicef di Selatan Thai. Sebagaimana yang sedia maklum, Melayu Patani terpaksa menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, Thai sebagai bahasa kebangsaan, juga Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Untuk memendekkan cerita, eksperimen ini mendapati bahawa pelajar yang sudah menguasai bahasa Melayu, lebih baik prestasinya dalam bahasa Thai dan Inggeris, sebelum dilanjutkan ke matematik, sains dan sebagainya. Teorinya, penguasaan bahasa ibunda yang baik, menyuntik kemampuan kepada seseorang pelajar untuk menguasai bahasa dan ilmu yang lain.

Ia membuktikan bahawa matlamat mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan, tidak semestinya perlu dicapai dengan menghapuskan sekolah vernakular. Sebaliknya, asas penguasaan bahasa ibunda yang kukuh, menyumbang ke arah penguasaan bahasa kebangsaan.

Berbalik kepada Malaysia, bagaimana penguasaan bahasa Melayu pelajar SJK dipertingkatkan? Saya sedikit sangsi ketika melihat desakan sesetengah pihak agar silibus mata pelajaran bahasa Melayu di SJK disamakan dengan sekolah kebangsaan (SK). Ini kerana ibu bapa pelajar SJK mendapati tahap silibusnya sekarang terlalu tinggi, jauh lebih tinggi berbanding zaman dahulu, sehingga melunturkan minat pelajar untuk mempelajarinya.

Jikalau dibandingkan, ia umpama pembelajaran bahasa Inggeris yang bermula dengan “present tense, past tense, past participle” untuk kita yang tiada asas dalam penguasaan bahasa tersebut. Sudahlah kita teragak-agak untuk menentukan sama kata itu “singular” atau “plural”, kelam-kabut pula kita untuk mengenal pasti sama ada present tensepast tense mahupun past participle yang harus digunakan. Apatah lagi jikalau dimarahi guru yang garang, atau diperli rakan sebaya ketika tersilap, sudah tentu ia menghakis keyakinan seseorang pelajar untuk menguasainya.

Jadi, kita memerlukan satu silibus yang direka khas untuk menyasarkan pelajar SJK. Bermula untuk mengukuhkan asasnya, dan kemudian dipertingkatkan secara berperingkat. Paling penting, kita perlu jelas bahawa matlamatnya adalah untuk memperkasa penguasaan bahasa Melayu pelajar SJK, dan kita mengambil kaedah dan pendekatan yang paling mendekatkan kita ke arah matlamat tersebut.

Pembentukan identiti nasional

Dalam bab pembentukan identiti nasional pula, seringkali pelajar lepasan SJK dituduh tidak memiliki sense of belonging, atau tidak menganggap dirinya sebahagian daripada tanah air ini. Untuk itu, saya ingin berkongsi semula pengalaman ketika satu Malaysia digembleng untuk memerangi wabak Covid-19.

Pada hujung Mac 2020, seorang tetamu dalam rancangan media Taiwan telah mengulas situasi penularan wabak Covid-19 di Malaysia. Dalam nada sinis, beliau kelihatan seolah-olah memperlekehkan usaha Malaysia untuk menangani wabak Covid-19, apatah lagi sesetengah ulasannya berdasarkan fakta yang auta. Kenyataan beliau mengundang kemarahan Cina Malaysia, lantas laman media berkenaan dilambak dengan komen-komen – mereka yang rasional sempat memperbetulkan kenyataannya dengan fakta, dan mereka yang terlalu emosi terus mencemuh dan memakinya, menyusul dengan desakan agar beliau memohon maaf kepada Malaysia.

Pertikaian ini bergolek, sehingga netizen Melayu dan India di Malaysia turut terlibat bersama. Tiba-tiba, “mak kau hijau” menjadi kalimat yang dikongsi satu Malaysia. Daripada kejadian ini, terfikir-fikir juga saya, apakah benar Cina Malaysia tidak merasakan dirinya sebahagian daripada Malaysia? Sudah tentu mereka berasal dari aliran pendidikan bahasa Cina, kerana rancangan Taiwan itu dalam bahasa Mandarin. Hakikatnya, mereka tetap tampil ke depan untuk mempertahankan maruah negara, ketika tanah airnya dihina.

Namun, secara peribadi, saya lebih terharu dengan apa yang berlaku di sebalik tabir sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bayangkan, bagaimana masyarakat tanpa mengira kaum, mengerah sumber dari setiap pelosok, untuk membekalkan petugas barisan hadapan dengan alat perlindungan yang diperlukan, pada saat-saat yang genting. Mereka yang rebah ditadah, mereka yang gugur ditangisi bersama, dan dihulurkan bantuan kepada keluarga mangsa. Penghantar makanan yang kehabisan minyak dalam tangki motorsikalnya dalam hujan, dibeli dan diisikan minyak oleh pemandu kereta yang berlainan etnik.

Pernahkah kita terfikir, bukankah antara insan yang menampilkan sifat kemanusiaan ini, juga berasal dari SJK? Jikalau mereka benar terasing daripada masyarakat tempatan sebagaimana yang dituduh, adakah mereka akan melakukan segala-gala ini? Bayangkan perasaan mereka, setelah dicurahkan kasih dan sayang terhadap manusia yang sama-sama berpijak di atas bumi ini, mengapa sekolah mereka masih dilontarkan label sebagai batu penghalang perpaduan?

Penyemaian benih nilai sejagat

Suka atau tidak, isu pendidikan gagal diasingkan daripada politik negara. Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir komuniti yang tidak matang, dan bersifat rasis dalam tindak-tanduknya. Kesemua ini tidak wujud dalam kekosongan, tetapi dalam satu konteks masyarakat dengan latar belakang sejarahnya.

Lebih penting, ia adalah hasil interaksi masyarakat dalam satu kitaran yang berlegar-legar. Misalnya, masyarakat Cina menganggap SJK tidak diberi layanan adil dari segi peruntukan, sungguhpun sekolahnya menghasilkan bakat yang menyumbang kepada negara; sementara masyarakat Melayu menganggap kewujudan SJK itu sendiri adalah toleransi masyarakat Melayu, dan jangan sesekali Cina “dapat betis mahu paha”. Ketidakpuasan Cina diterjemahkan sebahagiannya kepada keengganan untuk belajar bahasa Melayu, dan sudah tentu ia memahat persepsi dalam kalangan Melayu bahawa Cina sememangnya enggan menganggap dirinya sebahagian daripada tanah air ini. Pertikaian sedemikian jikalau tidak dirungkaikan, akan terus berserabut untuk satu abad akan datang.

Ramai dalam kalangan kita terpengaruh dengan retorik, kalau bukan wacana yang besar dan gah dalam pembinaan negara. Sedar atau tidak, dunia kita terlalu rumit, sehingga ada kalanya, teori dari perspektif yang makro, disanggah dengan faktor yang mikro. Andaian kita, perpaduan akan dicapai dengan menghimpunkan kanak-kanak pelbagai kaum di bawah satu bumbung, tanpa kita meneliti, bagaimana jikalau berlakunya pengasingan alat pemakanan? Apakah impaknya terhadap pelajar? Apakah matlamat asal itu tercapai?

Atau, apa yang lebih diperlukan, penyemaian benih nilai untuk saling menghormati, berempati dan bersolidariti dalam kalangan pelajar? Agar kita melahirkan generasi yang mampu menyelami dan memahami situasi mereka yang berbeza dengan dirinya, menghormati dan menghayati kelainan daripada kelompok yang berbeza. Generasi ini bakal menghulurkan bantuan kepada penunggang motosikal yang pancit di tengah-tengah jalan, membelikan makanan dan air untuk golongan terpinggir yang mengemis di tepi jalan, dan mematuhi SOP demi kesejahteraan masyarakat umum, juga sebagai solidariti kepada pengamal perubatan yang tertungkus-lumus untuk memerangi wabak Covid-19.