Angkat takbir tiba-tiba menyirap darah, patut dah notis di skrin TV masjid beri amaran sama kepada orang tua

Mengerjakan solat adalah waktu paling tenang dalam hidup tetapi lain pula dengan seorang pengunjung masjid ini apabila angkat takbir saja tiba-tiba menyirap darah.

Memang patutlah selepas ini notis di skrin TV masjid turut sama mengingatkan orang tua supaya tidak berbuat bising.

Ikuti luahan hati Taufek Yahya berkenaan sikap ‘orang masjid’ sendiri yang tiada ‘common sense’ ini:

Balik dari Rawang ke Melaka singgahlah solat di suatu masjid ni. Ruang berandanya luas. Mudah bagi para musafir dan anak-anak sekolah bersebelahan untuk tumpang solat. Alhamdulillah.

Sedang nak mulakan solat, makin rancak pulak 4, 5 orang tua yang bersembang di beranda tu bercerita. Inti bicaranya keputusan pilihan raya kecil KKB baru-baru nih. Saya senyum sajalah.

Tengah-tengah angkat takbir, ada pula yang layan TikTok dengan volume tinggi. Lagu 70-an, 80-an. Menyirap darah aku dibuatnya.

Yang buat kerja hodoh ni aku yakin jemaah tetap masjid itu sebab masing-masing saling mengenali.

Ada yang pakai ketayap, serban lagi pula. Apa barang pak haji layan lagu di ruang solat beranda masjid.

Saya pun batalkan solat sebab tak tahan bising dan terus masuk ke ruang solat masjid.

Dah ada pula dua jemaah yang juga bersembang dalam ruang solat masjid tu. Bersuara kuat juga sampai tenggelamlah suara takbir solat aku.

Yang dua orang ni bincang pasal program pula. Rasanya dua-dua ada masalah pendengaran kot?

Tak ada pilihan, teruskan jugalah solat walaupun terganggu dengan perbualan mereka tu. Kita ni orang awam, bukan macam sahabat Nabi yang khusyuk dalam solat hingga nak cabut anak panah di belakang badan pun dibuat waktu sahabat itu solat.

Seingat aku, ada hadis yang mengingatkan mereka yang membaca al-Quran agar merendahkan suara bacaan jika ada jemaah yang bersolat.

Kalau baca al-Quran pun perlu diperlahankan suara untuk menghormati orang yang solat, apatah lagi bersembang dan layan TikTok.

Seusai solat, aku pun bacalah tazkirah dan notis yang terpampang di skrin TV depan ruang solat. Salah satu notis yang silih berganti itu berbunyi:

“Sila pastikan kanak-kanak tidak berbuat bising di ruang solat…”

Notis itu tak salah sebab yang dilarang buat bising di ruang solat hanyalah budak-budak.

Jemaah tua bangka boleh sembang politik dan layan TikTok dengar lagu 70-an, 80-an dalam ruang solat.

Aduhai!

BACA JUGA Kaka Azraff pun dah ‘block’ selebriti Barat, apa katanya kepada rakan artis yang kena ‘block out’?