Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menolak dakwaan bekas setiausaha agung BN yang disingkirkan, Annuar Musa bahawa pemimpin Umno dan DAP sedang berbincang dan bersiap untuk bekerjasama.
Dia menempelak menteri wilayah persekutuan itu kerana membuat cerita mengenai kerjasama Umno-DAP yang tidak wujud.
Lim berkata tindakan Anwar menunjukkan dirinya seorang “desperado” kerana mengheret DAP dengan kemelut politiknya dalam Umno.
“Jangan heret kami dalam isu ini, jangan gunakan kami sebagai alasan untuk menyelamatkan politik kamu. (Perbuatan) ini salah dan tidak jujur,” katanya, lapor portal FMT.
Mengakui ada menyapa pemimpin Umno di parlimen, Lim berkata dia hanya berbual biasa dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Menurut Lim, kerjasama politik DAP bersama Umno tidak mungkin terjadi kerana perbezaan ideologi dua parti itu.
Secara realiti, kata Lim dia lebih banyak berbual dengan Annuar berbanding Zahid dan Najib.
Pada sidang media awal hari ini, Annuar telah mendedahkan bahawa Zahid bersekongkol dengan pemimpin pembangkang serta Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Lim menjangkakan Majlis Presiden PH akan bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan keadaan politik semasa.
Bagaimanapun, katanya ini cuma pertemuan bulanan biasa, yang dijadualkan diadakan minggu depan.
Malaysiakini mendapati mesyuarat Majlis Presiden PH sebelum ini dibatalkan setelah Lim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu mengatakan PH memerlukan pelarasan semula politik berikutan kegagalan mengundi menolak RUU Belanjawan 2021.
PH juga digesa supaya jangan membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang atau membuang masa dengan ahli parlimen oportunis yang hanya memperalatkan PH untuk kepentingan peribadi agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan.
Kenyataan bersama Lim dan Mat Sabu menimbulkan ketegangan dalam PH.