Anuar Zain sertai tabligh, gelagat tuang air guna teko BN sambil nyanyi tarik perhatian

Anuar Zain sertai tabligh, gelagat tuang air guna teko BN sambil nyanyi tarik perhatian

Penyanyi terkenal Anuar Zain menjadi bualan selepas dilihat mengikut jejak langkah beberapa selebriti lelaki tanah air yang lain apabila dilihat mula mendalami ilmu agama dengan cara menyertai jemaah tabligh.

Dalam sebuah video TikTok yang dimuat naik dan turut dikongsi dalam Facebook, difahamkan pelantun lagu Sedetik Lebih itu sedang menyertai jemaah tabligh bersama pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad.

Menerusi video tersebut, Anuar, 51, yang memakai jubah berona biru dan berkopiah dilihat sedang menuang air teh tarik ke dalam beberapa gelas sambil menyanyikan lagu hitnya, Lelaki Ini.

Difahamkan, lagu yang dinyanyikan tersebut merupakan permintaan Nabil yang ketika itu sedang bersarapan pagi bersama jemaah tabligh lain di sebuah masjid dipercayai terletak di Selangor.

Sementara itu, pengurus Anuar, Nana Ahmad ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia sudah agak lama tidak menghubungi penyanyi tersebut.

Katanya, video yang berlegar-legar dalam laman sosial sejak pagi tadi adalah benar dan meminta peminat mendoakan yang baik-baik untuk Anuar.

“Saya dah seminggu tak menghubungi dia tapi memang benar dia sedang ikut jemaah tabligh sekarang ini.

“Beri dia masa. Dia nak belajar dan mendalami agama bersama rakan-rakan. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakannya,” katanya.

Menjengah ruangan komen dalam media sosial, rata-rata netizen terkejut dengan tindakan pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain itu selain menyifatkan hidayah Allah milik semua tanpa mengira siapa.

COMMENTS