Anwar enggan terima saya punca PH gagal ambil alih semula kerajaan- Tun M

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata keengganan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menerima penglibatannya dalam rancangan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih semula Putrajaya menyebabkan usaha itu gagal.

“Usaha untuk tumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan oleh PH. Pihak saya dan penyokong saya bersetuju untuk menyertai usaha ini.

“Tetapi Anwar tolak sama sekali penyertaan saya. Jika saya ditolak, penyokong saya tidak akan menyertai cadangan ini. Dan kita tidak akan dapat tiga orang ahli Dewan Rakyat (DR) untuk mencukupi bilangan (majoriti),” katanya dalam catatan blog hari ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan 112 daripada 222 ahli parlimen. Namun, terdapat dua kekosongan di Dewan Rakyat berikutan kematian seorang ahli parlimen kerajaan dan seorang pembangkang.

Dalam tulisan itu, Mahathir berkata dia dicadangkan untuk pegang jawatan perdana menteri selama enam bulan sebelum menyerahkan kuasa kepada Anwar.

“Amanah dan beberapa ahli DAP bersetuju. Tetapi Anwar tolak. Anwar tidak mahu saya terlibat sama sekali,” katanya.

Mahathir juga menyatakan bahawa Anwar telah mengecualikan kumpulannya ketika mengumumkan pada bulan September bahawa dia telah memperoleh majoriti.

Untuk rekod, Mahathir kini menerajui parti Parti Pejuang Tanah Air, yang mempunyai empat ahli parlimen.

“Tetapi kita semua tahu bahawa Anwar masih tidak dapat jadi perdana menteri. Kenyataan Anwar bahawa dia mempunyai cukup bilang didapati tidak benar.

“Dalam perancangan Anwar saya tidak ada tempat. Jelas setelah ketepikan saya pun Anwar tidak menang.

“Pada tahun 2008 pun, Anwar gagal. Apakah saya juga yang menghalang Anwar?” katanya.

Anwar, yang merupakan ahli parlimen Port Dickson, sebelum ini berkata dia meminggirkan Mahathir kerana tidak dapat menerima “konspirasi dan pengkhianatan” yang berulang.

Anwar berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dari tahun 1993 hingga 1998 dengan Mahathir sebagai perdana menteri.

Namun, kedua-dua mereka berselisih dan Mahathir kemudian memecatnya sebagai timbalan perdana menteri dan memenjarakannya.

Mereka berdamai pada 2016 untuk berdepan perdana menteri dan presiden Umno ketika itu, Najib Abdul Razak, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Perdamaian itu menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018.

Mahathir dilantik sebagai perdana menteri sementara Anwar dinajikan akan menjadi penggantinya.

Mahathir secara terbuka mengatakan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, tetapi kemudian didedahkan bahawa Mahathir memang berhasrat mengundurkan diri tetapi tidak berencana untuk meraih sokongan buat Anwar dari parti yang diterajuinya ketika itu, Bersatu.

Bersatu, di bawah presidennya Muhyiddin Yassin, kemudian menarik diri dari PH dan membawa beberapa wakil rakyat lain bersama mereka. Ini menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.

Mahathir menentang langkah Muhyiddin untuk membentuk kerajaan gabungan baru kerana ia memerlukan kerjasama dengan Umno.

Mahathir akhirnya digulingkan dari Bersatu.

Muhyiddin kemudiannya mengambil alih jawatan perdana menteri, dengan kerajaan PN yang baru.

PH telah berusaha untuk mengambil alih semula kerajaan tetapi kekeruhan hubungan antara Anwar dan Mahathir dilihat menjadi penghalang.

Anwar menyatakan bahawa pengumumannya tentang majoriti yang didakwa diperolehnya pada bulan September masih ada tetapi masih memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan prosesnya.

“Prosesnya masih berjalan. Tidak masuk akal bagi saya untuk menghadap dengan Yang di-Pertuan Agong sekiranya saya tidak yakin dengan jumlah sokongan saya,” katanya.

 

Sumber:MKini