Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri Melaka akan diambil sebagai calon Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pembangkang itu mengesahkan keputusan untuk menerima dua ADUN tersebut bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan walaupun mendapat tentangan daripada rakan parti dalam PH yang keberatan dengan langkah tersebut.
“Setakat saya faham, PKR pilih satu, Amanah pilih satu, walaupun akan dimuktamadkan lewat malam ini atau esok pagi sebelum umumkan calon.
“Saya mohon maaf ada berbeza pandangan dengan pihak yang selama ini konsisten menyokong kita,” katanya pada sidang media berkenaan PRN Melaka secara maya di Facebooknya.
Anwar juga mempertahankan keputusan untuk menerima kedua-dua ADUN tersebut sebagai calon PH atas alasan mereka adalah wira kerana mahu mengembalikan mandat asal sebelum PH tumbang di Melaka.
“Pilihan raya memberi mandat pada PH. Mereka berundur daripada parti mereka untuk mengembalikan mandat pada PH. Itu naratifnya.
“Walaupun ada berbeda pendapat ada yang tak setuju. Saya hanya sampaikan alasan, naratif yang dikemukakan dalam mesyuarat PH,” katanya.
PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat ADUN, termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Dua lagi bekas ADUN yang menarik sokongan adalah Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.
sumber : https://www.agendadaily.com/politik/anwar-sahkan-dua-bekas-adun-umno-diambil-sebagai-calon-ph/