Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak mahu menerima elaun yang ditawarkan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berikutan masih kekal pendiriannya untuk tidak menerima gaji sebagai ketua kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau juga terpaksa memulangkan elaun yang dikreditkan ke dalam akaunnya selepas beberapa bulan mempengerusikan mesyuarat Khazanah.
“Tadi saya pengerusikan mesyuarat Khazanah, rupanya Pengerusi Khazanah, Perdana Menteri selama ini, ada elaun. Saya tidak tahu, selepas beberapa bulan, masuk dalam bank (elaun mesyuarat).
“Saya terpaksa pulang balik elaun Khazanah dan beritahu mesyuarat bahawa jangan bayar elaun kerana sebagai Perdana Menteri, saya mengatakan bahawa tidak akan ambil gaji selagi ekonomi kita tidak terangkat dan nasib rakyat miskin terbela,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) di sini petang tadi.
Hadir bersama adalah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, dan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran.
Dalam pada itu, Anwar menyatakan bahawa dalam usahanya untuk menghapuskan kemiskinan tegar, beliau juga tidak akan melakukan diskriminasi berdasarkan warna kulit, di mana mereka yang berada dalam kategori tersebut perlu dibantu dengan sepenuhnya.
“Saya sudah cakap (menghapuskan miskin tegar) dan ia menjadi sasaran kita sejak tahun lalu untuk hapuskannya.
“Sudah tentu berdasarkan angka, Melayu adalah adalah majoriti, tetapi berdasarkan ratio populasi, masyarakat India adalah antara yang paling miskin,” jelasnya.
Baca juga: “Geli tengok cara mak mertua masak, tak lalu nak makan sampai tiap kali datang aku renung je”