Satu fenomena yang pelik telah berlaku di Sungai Besar pada malam Selasa, apabila penduduk melihat sinaran cahaya berwarna hijau menerangi langit pada waktu itu.
Fenomena itu telah dimuat naik di Facebook oleh seorang penduduk yang merakam kejadian yang terjadi di sebuah taman perumahan di situ.
Penduduk di situ yang dikenali sebagai Man Toya pada akaun Facebook miliknya berkata segala persoalan tercetus sejurus melihat kejadian aneh itu.
“Sungai Besar kenapa terang sangat cahaya ni dan bergerak?” tulisnya di Facebook kira-kira 8.30 malam hari kejadian.
Penduduk yang juga menyaksikan fenomena luar biasa itu turut meninggalkan komen pada gambar yang telah dimuat naik itu.
Seorang pemilik akaun Facebook, Cik Faa berkata bahawa dia ternampak cahaya itu di hadapan rumahnya.
“Habis saja azan Isyak, (cahaya hijau di ruangan udara) terus hilang,” katanya di ruangan komen.
Mohamad Amirul yang juga merupakan seorang pengguna Facebook, turut melaporkan bahawa dia juga melihat fenomena itu.
Katanya, kejadian itu pelik kerana ianya berlaku di hadapan rumahnya yang menghadap jalan.
“Belakang rumah saya laut, tetapi saya nampak depan rumah, (mustahil nelayan) candat sotong dekat jalan, (rasa) pelik,” kata Mohamad Amirul.
Namun, terdapat beberapa komen yang menyimpulkan bahawa cahaya itu terjadi kerana aktiviti mencadat sotong di laut yang berhampiran.
Seorang lagi pengguna Facebook, Nor Faridah berkata cahaya itu datang dari bot nelayan di kawasan bagan berhampiran.
Tetapi, cahaya hijau yang menerangi langit itu dikatakan berlaku dalam tempoh yang singkat, katanya dipetik Sinar Harian.