Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat bergelar isteri kepada FD Idzham FD Iskandar semalam.
Pasangan mempelai diraja ini dinikahkan Mufti Pahang, Datuk Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim yang diperkenankan oleh Sultan Pahang untuk menjadi wakil rasmi Baginda.
Usahawan muda dan pemain ragbi untuk kelab Saracens F.C yang berpangkalan di London itu menyerahkan senaskah al-Quran sebagai mas kahwin.
Pasangan mempelai diraja itu segak mengenakan busana baju Melayu dan baju kurung berona putih.
Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar perkenan menyaksikan Istiadat Akad Nikah yang berlangsung gilang gemilang di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.
FD Idzham merupakan seorang usahawan muda yang dilahirkan dalam keluarga yang cukup disegani dalam dunia perniagaan. Beliau merupakan anak kepada Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor (bapa) dan Datin Seri Hafizah Zakaria (ibu).
Datuk Seri FD Iskandar, yang juga dikenali dengan nama sebenarnya, Fateh Iskandar Mohamed Mansor merupakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat Glomac Berhad.
Datuk Seri FD Iskandar adalah anak kepada Tan Sri Dato’ Mohamed Mansor bin Fateh Din, menambah lagi prestij kepada latar belakang keluarga mereka.
Karier FD Idzham melibatkan pelbagai sektor seperti hartanah dan runcit. Berbekalkan pengalaman sebagai bekas Pegawai Bank Pelaburan di Bahagian Perkhidmatan Pelanggan di Maybank Investment Bank Berhad, FD Idzham kini memegang jawatan penting sebagai Ketua Kumpulan Pembangunan Perniagaan & Strategi Korporat di Glomac Berhad.
Sebelum ini, beliau turut pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan di Vacas Glo Sdn Bhd dan Pengarah di MakaMakan Sdn Bhd, menambah lagi pengalaman luasnya dalam dunia perniagaan.
Berikut merupakan pekerjaan beliau:-
Pengarah Urusan di Vacas Glo Sdn Bhd
Pengarah di MakaMakan Sdn Bhd
Ketua Runcit di Glo Damansara Shopping Mall
Pengurus Kanan, Operasi Kumpulan di Glomac Berhad
Perkhidmatan Pelanggan, Perbankan Global Kumpulan di Maybank Investment Banking Group
Bendahari dan Ahli Jawatankuasa di REHDA Selangor
Ketua Kumpulan Pembangunan Perniagaan & Strategi Korporat di Glomac Berhad