Apa yang berlaku di Perak akan merebak ke negeri lain pula,kata naib Presiden Bersatu

Kemelut politik di Perak yang menyaksikan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti daripada wakil rakyat, tidak mustahil boleh ‘berjangkit’ ke beberapa negeri lain.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, senario itu malah mampu memberi impak yang besar kepada kepimpinan di peringkat Persekutuan.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi jaminan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan segera sebaik pandemik COVID-19 pulih sepenuhnya.

“Akibat daripada cetusan kemelut ini, tsunami politik juga berisiko untuk melanda kerajaan negeri Johor, Sabah dan beberapa negeri lain termasuk kerajaan Persekutuan kerana kerajaan didirikan hasil kerjasama semua parti politik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata, usaha pihak tertentu yang seolah-olah berusaha menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang berlaku di Perak membuktikan nasihat Yang di-Pertuan Agong seperti tidak diambil endah.

“Ketika COVID-19 meragut ratusan nyawa dan dijangkiti ribuan rakyat Malaysia setiap hari, masih ada pemimpin dan parti politik tidak henti-henti berusaha untuk menjatuhkan kerajaan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kini kerajaan PN Perak pimpinan Datuk Seri Faizal Azumu dengan pelbagai cara dan tipu muslihat.

“Jadi, nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk semua pemimpin dan parti politik menghentikan kemelut politik nampaknya tidak dipedulikan dan juga diketepikan,” tegasnya.

Tambahnya, beliau yakin rakyat bijak membuat penilaian dan sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing hanya akan merugikan negara.

“Insya-Allah, rakyat akan menghukum parti dan individu yang meletakkan kepentingan politik, jawatan dan parti masing-masing melebihi nyawa, kesihatan, keselamatan dan ekonomi rakyat yang kini terancam akibat pandemik COVID-19,” tambah beliau.

Ahmad Faizal yang dipilih menjawat Menteri Besar Perak sebelum ini gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya yang berlangsung pada Jumaat.
Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu baru-baru ini juga berkata, Parlimen akan dibubarkan sekali gus membuka jalan kepada PRU-15 sebaik sahaja penularan pandemik COVID-19 di negara ini berakhir.

sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/kemelut-politik-perak-mungkin-berjangkit-ke-negeri-lain-rafiq-271558