Fenomena tidak mahu anak atau ‘childfree’ yang bermula di Barat dilihat sudah merebak ke Malaysia sekaligus memberi isyarat buruk kepada negara ini yang sedang menuju status negara tua.
Gaya hidup ‘childfree’ yang mula mendapat tempat dalam kalangan golongan Millennials dan Gen Z kini berbeza dengan tidak ada upaya untuk melahirkan dan mendapatkan anak (childless).
Alasan penyokong ‘childfree’ yang tidak mahu beranak ini lazimnya kerana mahu mengurangkan populasi dunia dan ingin tidur dengan nyenyak tanpa gangguan tangisan bayi.
Ikuti perkongsingan ‘viral’ daripada peguam Asiah Abd Jalil, ibu kepada 10 anak dengan penyeri pertama rumahtangga beliau bersama suaminya seorang jurutera pada 13 Oktober 2003:
Sejak kecil, saya berimpian untuk memiliki ramai anak. Saya datang dari keluarga besar. Saya anak ketiga dari 10 orang adik-beradik.
Masa bercinta, saya pernah clash dengan pakwe, sebab pakwe saya ada 2 orang adik-beradik saja. Saya takut pakwe saya kelak bila dah jadi suami, dia tak nak ramai anak, sebab dia tak biasa hidup dalam keluarga besar.
Ketika usia saya 18 tahun, saya didiagnos menghidap PCOS. Doktor kata, rahim saya juga tidak sihat. Kelak saya mungkin tidak dapat melahirkan anak.
Waktu itu dunia saya terasa gelap. Saya tangguh pengajian saya selama 1 semester di UIA, sebab saya terlalu sedih dan tertekan.
Pakwe ajak saya kahwin semasa usia saya 19 tahun, walaupun masa tu dia dah tahu saya mungkin mandul. Mulia betul hati dia. Saya terharu ada orang sanggup terima saya yang tidak sempurna ini.
(Tapi masa tu saya pernah terfikir, adakah pakwe nak kahwin dengan saya, padahal dia dah tahu saya mandul, sebab dia memang sebenarnya tak nak anak pun?)
Ketika perbincangan untuk berkahwin, keluarga kedua-dua pihak buat perjanjian. Jika saya tak mampu lahirkan anak dalam tempoh 5 tahun selepas perkahwinan, saya mesti izinkan encik suami untuk berpoligami.
Arwah bapa mentua saya kata, anaknya cuma 2 orang. Dia berharap sangat untuk memiliki cucu-cucu yang ramai. Saya akur dengan syarat tersebut. Saya ada tempoh selama 5 tahun untuk berusaha hamil.
Disebabkan perjanjian ini, selepas berkahwin, saya nekad untuk berhenti belajar. Saya lupakan cita-cita saya untuk menjadi doktor. Apalah guna menjadi wanita yang hebat dalam kerjaya, tetapi childless. Demikian pendirian saya.
Saya pergi berubat sana sini. Perubatan moden, rawatan tradisional, ikhtiar ruqyah, jumpa bomoh, semua saya cuba.
Dengan izin Allah, saya berjaya hamil selepas 10 bulan berkahwin. Saya ingat sampai sekarang, tarikh 13 Januari 2003, doktor klinik di hadapan Balai Islam Lundang, Kota Bharu sahkan saya hamil.
Kehamilan pertama saya tidak mudah. Saya mengalami pendarahan selama berbulan-bulan. Hinggakan doktor pernah menyangka saya keguguran dan menasihatkan saya untuk D&C.
Nasib baik saya tidak terburu-buru. Bayi dalam kandungan saya membesar elok-elok sahaja.
Pendarahan saya berterusan hingga ke akhir kehamilan. Doktor bimbang jika saya alami placenta previa. Saya tinggal di wad hospital sejak kandungan 7 bulan, sehinggalah genap 9 bulan.
Saya melahirkan anak sulung pada 13 Oktober 2003 di HUSM Kubang Kerian, Kelantan. Tarikh keramat saya bergelar ibu.
Sejak itu saya mula menikmati motherhood journey dengan penuh rasa syukur dan bahagia. Hingga kini saya bertuah dikurniakan 10 orang anak penyejuk mata, hati dan jiwa.
Child-free? Saya harap tiada seorang pun dari 10 orang anak saya yang memilih untuk hidup child-free.
BACA JUGA Dah kenapa pula DAP kena ucap terima kasih kepada Pas? Nama Anthony Loke pun kena ‘petik’