Aplikasi dating Tinder, Omi haram digunakan pasangan sudah berkahwin

Ramai pasangan yang sudah berkahwin tidak mengetahui tentang hukum menggunakan aplikasi dating yang dipercayai penuh dengan perbuatan maksiat dan fitnah.

Ia didakwa dapat meruntuhkan institusi rumahtangga itu sendiri dan menjadikan ia haram digunakan buat umat islam.

Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd berkata, terdapat sebahagian aplikasi tersebut tidak patuh syariah dan boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.

Beliau turut menjelaskan hukum bagi suami menggunakan aplikasi itu harus jika diberi keizinan si isteri namun harus mengelakkan dari unsur fitnah dan juga maksiat.

“Semua pihak perlu berhati-hati dengan aplikasi ini. Kalau sudah ada isteri, suami dan anak-anak, untuk apa lagi berada dalam aplikasi itu?

“Jika aplikasi itu tidak membawa ke arah maksiat, zina dan pembohongan maka aplikasi itu harus dan dibenarkan kerana individu khususnya lelaki yang terlibat dengan aplikasi tersebut bertujuan mencari bakal isteri yang boleh menjaga dirinya dan keluarga. Maka perbuatan tersebut dibolehkan.

“Masalahnya kalau dia gunakan untuk menipu wanita lain, maka perbuatan itu bertukar menjadi haram kerana terdapat unsur maksiat,” katanya.

Baca juga: Rumahtangga 24 tahun terlerai, isteri kantoi ‘check in’ dengan rakan Tinder