Arja Lee tukar profesion, kini jadi pensyarah

Arja Lee tukar profesion, kini jadi pensyarah. Impian pelakon dan penyanyi itu untuk menceburi bidang akademik tercapai setelah bergelar pensyarah di UMK.

Arja Lee, 39, menceburi bidang akademik dan kini bergelar pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Kosmo, Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli berkata, dia memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menabur ilmu kepada generasi muda berbekalkan pengalaman menjadi insan seni.

“Alhamdulillah, UMK menawarkan saya untuk berkhidmat menjadi pensyarah dalam bidang seni persembahan. Saya pun baharu saja menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang itu.

“Saya melihat tawaran itu satu rezeki yang cukup bermakna kerana inilah masa untuk berkongsi ilmu sebagai anak seni. Saya ingin melihat anak-anak muda kita bersedia dan cukup serba-serbi terutama yang ingin menceburi bidang seni.

“Saya berazam memikul tanggungjawab sebagai ahli akademik sebaiknya dan berbakti dengan ikhlas menabur ilmu. Jalan sudah terbuka dan saya perlu memanfaatkan sebaiknya kepercayaan diberikan UMK ini,” katanya.

Pelakon filem …Dalam Botol itu juga merasakan sekarang tiba masanya dia fokus terhadap bidang akademik berbanding seni.

Menurutnya, amat penting memiliki jaminan kerjaya lain dan tidak bergantung semata-mata pada pekerjaan artis.

“Saya sudah berada di tahap yang berfikiran jauh ke hadapan mengenai arah tuju hidup saya. Saya mencari jaminan kerjaya yang mampu memberikan saya kepuasan selain tidak risau mengenai pendapatan.

Kalau sekiranya bidang glamor bukan lagi fokus saya selepas ini, sekurang-kurangnya masih dapat gunakan ilmu seni dalam akademik. Dan saya yakin jalan dipilih ini yang terbaik,” katanya.

Selepas beberapa tahun, Arja yang mengambil Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Seni di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak akhirnya menamatkan pengajian.

Dia juga semakin memperlahankan aktiviti seni dan aktif membabitkan diri dalam pelbagai program kebudayaan.

Baca Juga: Tiga sebab kenapa kulit muka lelaki lebih cantik berbanding wanita

Baca Juga: ‘Mata asyik tengok kamera je’ – Cikgu mengajar dalam kelas sambil live TikTok dikecam netizen, KPM siap keluar amaran

COMMENTS