Terkejut tengok nenek simpan resepi spaghetti, “Rupanya orang dulu dah western dulu”

Sebuah buku peninggalan neneknya meggamit memori seorang gadis berikutan buku itu dipenuhi dengan resepi masakan yang tidak sempat dipelajarinya.

Resepi yang ditulis dengan tulisan jawi itu juga mempunyai 100 halaman dimana kesemuanya dipenuhi resepi lama.

Gadis tersebut mahu dikenali sebagai Izzati Exwanee, buku resepi lama itu adalah milik neneknya Allahyarham Fatimah Ali yang meninggal pada tahun 2015.

Gadis 19 tahun ini mendakwa menjumpai buku ini ketika mengemas bilik arwah neneknya di Rawang, Selangor.

“Saya sebagai salah seorang cucu perempuan kemas bilik arwah, baju-baju dan barang- barang lain semua nak diberi kepada orang tapi masih simpan yang ini.

“Tapi bila saya tengok tak ada sesiapa anak-anak arwah iaitu makcik, pakcik saya tak ada ambil. Jadi, saya bawa balik ke rumah,” katanya kepada mStar.

Buku tersebut mengandungi beraneka resepi biskut raya, kuih tradisional, kek dan lauk.

“Paling legend mestilah rendang kan. Tapi apa yang saya terkejut ada resepi cheesecake dan spaghetti bolognese. Saya ingatkan orang dulu-dulu tak makan cheesecake.

“Kali terakhir saya makan rendang masakan nenek pada Hari Raya Haji 2014 masa balik kampung. Tahun 2015 pula nenek meninggal masa Ramadan, tak sempat beraya sama.

“Masing-masing ada cuba resepi rendang tu tapi tak ada siapa yang dapat masak sama rasa dengan masakan arwah… saya masak pun tak sama rasanya,” katanya sambil menyifatkan arwah neneknya seorang yang peramah dan suka membantu orang lain.

Ibu kepada Izzati memaklumkan neneknya sedari darjah 6 sudah mengambil kelas masakan. Itu kerana halaman bukunya amat penuh dengan resepi dari dahulu.

“Ya Allah, rindu sangat kat arwah bila ingat balik. Saya masih ingat masa tu saya darjah tiga. Saya masuk dapur sebenarnya nak ambil barang dan nak keluar balik main dengan sepupu.

“Tiba-tiba arwah yang potong bahan-bahan masak panggil saya tengok dia masak asam pedas. Tak jadi saya main sebab kena belajar masak. Tapi masa tu kan kecil lagil, fikir nak main je. Tengok arwah masak pun dalam hati ‘Cepatlah tok nak main’.

“Asam pedas itulah satu-satunya masakan yang saya belajar dengan arwah. Bila arwah dah tak ada baru menyesal tak belajar masak lagi dengan arwah,” ujarnya dengan nada terkilan.

Izzati turut meluahkan rasa syukur kerana telah mempelajari tulisan jawi dan membolehkannya memahami resepi yang ditulis oleh neneknya.

“Alhamdulillah, nasib saya belajar jawi dulu. Kalau tak sia-sia je buku tu saya simpan. Tapi dalam tu banyak resepi yang susah macam nasi dagang, serunding dan mi bandung.

“Ada lebih 50 resepi dalam buku ni. Memang saya bercadang nak belajar kesemuanya. Sampai sekarang saya sendiri terkejut, ingat orang dulu-dulu tak makan benda-benda macam ni. Macam cheeecake dan spaghetti bolognese,” katanya.

Baca juga: “Abang tergamak hantar kakak balik kampung sebab sakit, rupanya kat bandar dia..”