Rupanya berderet komentar negatif pelanggan yang pernah singgah di kedai makan milik pendakwah selebriti, Ustazah Asma’ Harun (UAH).
Antaranya, asap dari bahagian dapur dikatakan masuk ke ruang makan hingga menyebabkan pelanggan pedih mata selain makanan sampai di meja sangat lambat.
Selain itu, ada yang memberitahu mereka menunggu makanan hampir dua jam hingga terpaksa membatalkan pesanan sebab tidak mampu lagi menanti.
“Tidak disarankan langsung. Kedai selesa dan cantik tapi layanan sangat-sangat ‘slow’ (perlahan). Laksa masih ada bahagian yang keras dan murtabak sedap tapi kulit keras dan liat,” komen Fara.
“Makanan macam ‘ready to eat’ punya sahaja, dipanaskan dan dihidang. Servis teruk. Banyak menu habis. Pergi dua kali dengan keluarga. Ingatkan kali kedua dah okey tapi masih sama,” jelas Fuad.
Namun, ini pula reaksi Ustazah Asma’:
“Kecaman, makian, hinaan, sangkaan buruk dan fitnah sudah menjadi kebiasaan sehingga pelaku tidak lagi rasa bersalah bahkan dibanggakan,” katanya di Facebook hari ini.
“Walau apa pun yang kalian katakan, saya tetap memaafkan, semoga saya juga dimaafkan,” tulisnya di Facebook.
Sebelum ini, Asma’ mengumumkan penutupan Momen Kafe di Bandar Prima Senawang, Seremban selepas hanya mampu beroperasi selama setahun.
“Setiap bulan kami negatif RM30,000. Tuan-tuan bayangkan, setahun kami bertahan, kerugian kami dianggarkan lebih RM300,000.
“Selepas sebulan berniaga, kami tanyalah akauntan ada berapa duit dalam akaun.
“Dia jawab, ‘Ustazah, ada RM2,000’. Nak bayar gaji pekerja RM30,000. Nak bayar sewa,” terangnya semasa sesi siaran langsung yang dimuat naik di media sosial miliknya.
Dia juga menambah terpaksa meminjam, mengeluarkan wang simpanan, serta menjual aset serta barang kemas untuk memastikan kebajikan para pekerjanya terjamin.
“Sampailah kami kata, kami dah tak ada apa-apa lagi untuk menampung perniagaan kami ini.”
“Nak naikkan harga, kami tak sanggup,” katanya sambil menerangkan kos operasi dan bahan mentah termasuk makanan laut sangat tinggi.