Aset usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat yang disita dua minggu lalu, bakal dilelong pada jam 10.30 pagi ini.
Berdasarkan perisytiharan jualan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Disember lalu, lelongan awam berkenaan akan dilaksanakan di rumah Muhammad Sajjad beralamat di premis No 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
“Pihak defendan tidak membuat pembayaran selepas writ penyitaan dan penjualan ditampal di premis Muhammad Sajjad pada 14 Disember lalu.
“Maka, mahkamah meluluskan permohonan plaintif agar semua barang yang disita supaya dilelong esok,” kata Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zukifili dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors iaitu peguam kepada plaintif, OWA Resources Sdn Bhd.
Nurwati Hussin, 41, dan Mohamed Syakir Hussin, 32, dari OWA Resources iaitu bekas stokis utama perniagaan bengkung milik Muhammad Sajjad cuba mendapatkan semula wang mereka selepas pampasan sebanyak RM200,000 gagal dibayar usahawan itu.
Lelongan aset berkenaan adalah cara penyelesaian bagi menebus pampasan yang perlu dibayar oleh defendan.
Nurwati dan Muhammad Syakir bersyukur kerana nama mereka sudah dibersihkan dan diberi peluang menetapkan kebenaran berhubung apa sebenarnya berlaku.
Mereka turut lega apabila pembohongan dan fitnah yang dilemparkan Muhammad Sajjad kini diketahui semua dan hanya satu helah melalui manipulasi fakta.
Kedua-dua plaintif menegaskan tidak pernah memfitnah Muhammad Sajjad, sebaliknya mereka menjadi mangsa fitnah.
“Keputusan mahkamah adalah testimoni yang sistem perundangan negara bersetuju dengan hujahan dan bukti yang dibentang pihak plaintif,” kata Nurul Hafidzah.
Orang ramai yang ingin membeli senarai barang dilelong boleh mengunjungi alamat dinyatakan.
sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/898622/aset-milik-sajat-dilelong-pagi-ini