‘Asyik’ sangat beli jualan 11.11, penumpang wanita meraung terlepas pesawat

Seorang wanita di China terlihat menangis di lapangan terbang setelah terlepas pesawat kerana terlalu asyik membeli barang secara online semasa jualan 11.11, seperti yang dilaporkan oleh laman berita Mothership hari ini.

Pada 11 November yang lalu, wanita tersebut dilaporkan tiba lebih awal di lapangan terbang.

Namun kemudian dia membuat keputusan untuk menerokai beberapa tawaran menarik di platform beli-belah dalam talian, Taobao.

Walau bagaimanapun, dia terlalu asyik dengan telefon bimbitnya dan enggan melepaskan tawaran hebat sehingga akhirnya terlepas pengumuman untuk menaiki pesawat.

Dalam sebuah klip video, dia dirakam menangis sambil duduk di atas lantai lapangan terbang Shanghai Pudong.

Dia mendakwa penerbangan ke lapangan terbang Zunyi Xinzhuo adalah yang terakhir pada hari tersebut.

Kakitangan lapangan terbang kemudian membantunya menukar penerbangannya agar dia dapat menaiki penerbangan seterusnya.

Baca juga: “Housemate cantik sangat tapi pengotor tahap gaban, dia boleh hidup dengan semua sampah berulat dekat dapur siap aku yang kena kemaskan..”