Pemuda UMNO mempersoalkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana disifatkan begitu tergesa-gesa dan tidak merujuk terlebih dahulu kepada UMNO.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan yang dilakukan itu dilihat bertentangan dengan ketetapan yang diputuskan UMNO sebelum ini ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Janda Baik, Pahang pada 19 Februari lalu.
“Mesyuarat UMNO di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) yang lalu telah menetapkan untuk tidak bersetuju dan menutup sebarang tawaran jawatan TPM.
“Walaupun pelantikan TPM adalah hak mutlak PM tetapi seharusnya sebagai rakan kongsi yang membentuk kerajaan, beliau sewajarnya mengemukakan tawaran terlebih dahulu kepada parti untuk menominasi sesiapa,” katanya di Facebook pada Khamis.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi turut menjelaskan mengenai calon Perdana Menteri (PM) dalam kalangan UMNO.
Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menyatakan beliau berjiwa besar untuk tidak dicalonkan sebagai PM kerana mahu menumpukan kepada membersihkan namanya di mahkamah.
“Presiden UMNO juga akan mencadangkan beberapa nama yang akan diputuskan oleh MKT memandangkan parti ini tidak ketandusan pemimpin-pemimpin termasuklah Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien dan ramai lagi yang punya pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran zaman Barisan Nasional (BN) memerintah,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan, situasi yang berlaku pada Selasa itu adalah hari yang penuh dramatik.
“Masakan tidak, di sebelah petang semacam tergesa-gesa keluar kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri mengenai pelantikan jawatan TPM dan Menteri Kanan seolah -olah menghidu bahawa UMNO bakal membuat ketetapan penting di sebelah malamnya.
“Sudah berulang kali PM melakukan sesuatu tindakan yang sengaja membelakangi UMNO sebagai sebuah parti,” katanya.
sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/148761/BERITA/Nasional/Pemuda-UMNO-sifatkan-pelantikan-TPM-tergesa-gesa