Atlet kayak Malaysia, Siti Nurul Masyitah Elias dipercayai cedera parah selepas motosikalnya dirempuh dan diseret sejauh 600 meter.
Kemalangan tersebut yang berlaku di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) turut membabitkan seorang pemandu mabuk.
Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang dalam satu kenyataan memberitahu, Nurul Masyitah, 22, dirawat di Hospital Colombia kerana mengalami kecederaan yang parah.
“Menurut saksi berserta rakaman ‘dashcam’, kereta terbabit dipandu dalam keadaan melulu sebelum melanggar Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal dan kemudiannya menyeret mangsa sejauh 600 meter.
“Mangsa sering berulang-alik dari Politeknik Ibrahim Sultan ke rumah bagi menjaga ibu bapanya yang sakit.
“Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan perlukan rawatan dialisis.
“Mohon doakan agar mangsa dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan,” menurut persatuan itu pada Selasa.
Siti Nurul Masyitah ialah Atlet Kayak Dragon Boat Malaysia yang memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 2023.
Berdasarkan hantaran yang viral dalam media sosial, beberapa keping gambar kemalangan termasuk foto seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek, dilihat sedang membuat isyarat ‘peace’.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
Baca juga: Ramai ‘flex’ baki akaun KWSP, netizen terkejut ada yang cecah RM500,000