Atuk kepada empat orang cucu ini sanggup berhabis duit pada tiap-tiap tahun janji puas hias kereta dan laman dengan Jalur Gemilang.
Lebih 12 tahun yang lalu apabila menjelang saja tarikh 31 Ogos, kereta Proton Iswara Aeroback dan kawasan berdekatan gerai jualan atuk akan dihiasi dengan Jalur Gemilang, termasuk replika yang direka sendiri menggunakan barangan terpakai.
Semangat ini ditunjukkan oleh Tazar Alang Rahim, 63 tahun, dari Kampung Tasek, di sini, menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia dengan cara dan gaya tersendiri.
Merisik tentang bagaimana dia mula berminat menghias kereta dengan lebih 100 bendera Malaysia saban tahun, Tazar berkata minatnya itu bermula sejak dia berusia 30-an.
“Setiap tahun saya cuba tampilkan kelainan, kali ini saya buat replika kereta perisai dan helikopter kecil saja sebab kawasan pun sempit.
Ujarnya lagi, kerana keunikan keretanya yang dihiasi bendera Malaysia, dia sering dijemput ke beberapa sekolah bagi program khas sempena Hari Kebangsaan.
“Kereta itu memang jarang keluar kerana ia memang khusus saya guna untuk sambut merdeka, untuk kegunaan harian saya ada satu lagi kereta,” katanya.
“Setiap kali menjelang ulang tahun kemerdekaan, saya mula pasang Jalur Gemilang di kereta, ramai yang berminat dan ambil gambar. Mereka juga ada tegur dan hon tanda bagi sokongan.
“Kalau di sekolah pula mereka jemput untuk sertai perarakan di sekolah tersebut, itu antara kenangan manis sepanjang 12 tahun saya lakukan perkara ini,” katanya.
Jelas datuk kepada empat orang cucu ini lagi, anggaran kos bagi menghias kereta dan laman itu adalah sebanyak RM1,000.
Baca juga: Cuti sekolah takde buat apa, cucu gunting duit pencen atuk nak buat main masak-masak