Audio mirip suara seorang pemimpin Pas yang didakwa mempertikai kepimpinan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tular di media sosial semalam.
Rakaman audio itu didedahkan seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ahmad Rizqi Khairuddin.
Menerusi hantaran di media sosial tersebut, individu yang menggunakan nama Ahmad Rizqi itu memberi amaran akan terus mendedahkan audio pemimpin Pas itu.
Rakaman audio itu antara lain mendedahkan, pemimpin Pas yang dinamakan Dr T itu mendakwa, Abdul Hadi percaya bahawa Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding Barisan Nasional (BN).
“Tok Guru ini berpegang pada pandangan survey (kaji selidik) yang menunjukkan PN naik, BN turun. Tetapi, dia kata, kita kena raikan juga, UMNO masih ada akar umbi.
“Ayat itu Tok Guru ulang selalu. Ulang pada ungkapan, tetapi pada praktikalnya, tidak ditunjukkan. Jadi, kita susah hati,” menurut audio yang didakwa suara pemimpin Pas itu.
Pendedahan audio ini dipercayai ada kaitan dengan pemilihan pimpinan Pas yang akan diadakan November ini.
Pada 2019, Pas bersama UMNO membentuk satu kerjasama yang dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN).
Ketika berlaku krisis politik negara pada 2020, Pas bersama BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain, membentuk kerajaan.
Gabungan baru ini akhirnya didaftarkan secara rasmi sebagai Perikatan Nasional dan Pas menyertai gabungan ini secara rasmi biarpun UMNO dan BN tidak bersama.
sumber : https://www.astroawani.com/berita-politik/tular-audio-pemimpin-pas-didakwa-pertikai-hadi-awang-324377