Sesiapa yang pergi ke sungai hendaklah perhati di sekeliling jika ternampak rumput bertimbun janganlah tiba-tiba pergi kacau kerana dibimbangi ada sang bedal.
Sang bedal ataupun buaya sering kali membuat sarang di kawasan sungai, kawasan air tawar seperti tasik dan paya. Walaupun jarang ditemui, namun mendengar namanya sahaja sudah mebuatkan diri berasa gerun apatah lagi bersua muka.
Hal ini kerana, reptilia itu berpotensi untuk melakukan apa sahaja seperti memamah tubuh badan manusia yang menyebabkan mereka sentiasa berjaga-jaga.
Kadang kala apabila pergi ke kawasan sungai, paya dan sebagainya manusia secara tidak langsung telah menceroboh kawasan habitat itu.
Susulan itu, haiwan purba ganas itu mula untuk bertindak di luar kawalan seperti membunuh manusia yang berdekatan dengan kawasannya.
Cara buaya buat sarang
Oleh hal yang demikian, bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak sepatutnya, ketahui bagaimana buaya membuat sarang supaya tidak mengganggu kehidupan reptilia itu.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang lelaki bernama Bang Speers di Facebook, di mana dia juga menunjukkan contoh kawasan buaya bersarang.
Jelasnya dalam video itu, dia mahu menunjukkan kawasan sarang buaya kerana mahu memberi pengetahuan dan ilmu serba sedikit mengenai haiwan tersebut.
“Saya akan tunjukkan kepada kalian, mungkin di antara kalian ada yang belum pernah lihat sarang buaya itu bagaimana, terbuat daripada apa dan di mana haiwan itu bersembunyi.
“Biasanya seekor buaya itu berada di tepi paya. Antara bahan untuk membuat sarang yang buaya gunakan ialah tanah dan rumput.
“Tanah dan rumput itu akan dikorek oleh buaya dan dikumpulkan pada satu tempat dan kebiasaannya ia akan diletakkan di bahagian tengah,” katanya.
Jelasnya lebih lanjut, lelaki itu berkata rumput-rumput yang panjang merupakan bahan yang digunakan oleh buaya untuk membuat sarang.
Kemudian menunjukkan contoh sarang yang dibuat oleh buaya di kawasan tersebut supaya orang ramai dapat membayangkan serta lebih tahu bentuk sarang itu.
Lelaki itu berjalan ke hadapan menuju ke bahagian sarang buaya dengan berhati-hati dan berharap agar haiwan reptilia itu tidak berada di kawasan tersebut.
Sarang diperbuat dari rumput dan tanah
Sekiranya dilihat dengan teliti sarang buaya itu dipenuhi dengan rumput-rumput kering, yang dikumpulkan dan dijadikan bukit membuatkan ia terlihat seperti tempat pengumpulan sampah.
Buaya tersebut akan mula menggemburkan tanah apabila memilih bahagian yang sesuai dan mula mengumpulkan kayu besar di atas tempat pengumpulan rumput.
Setibanya lelaki itu di kawasan sarang, seekor buaya kemudiannya muncul melompat di tempatnya.
Apabila lelaki itu cuba untuk mendekati sarang, buaya tersebut bertindak dengan bergerak ke hadapan sambil membuka mulutnya, menunjukkan mahu menggigitnya.
Tindakan buaya itu berkemungkinan mahu menjaga kawasan sarangnya atau haiwan itu merasa terancam.
Sekarang sudah tahu bagaimana bentuk sarang buaya kan? Selepas itu, kalau pergi ke kawasan sungai atau mana-mana kawasan air tawar, berhati-hati!
Kredit: Bang Speers/Facebook
Baca juga: ‘Saya tak memilih kerja, janji halal’- Seorang bapa rela ulang alik 20km demi bayar yuran anak