POLIS Johor menahan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor pada 16 Mac lalu kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket dadah antarabangsa.
Inspektor berusia 31 tahun itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara ditangkap pada pukul 7 malam di Johor Bharu.
Penahan itu dibuat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
Sindiket dadah itu pula disyaki terlibat dengan pasaran di negara jiran.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penangkapan itu hasil risikan dan siasatan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Johor.
Kata beliau, Inspektor itu didapati menjual semula rampasan dadah yang dirampas polis kepada sindiket dadah untuk tujuan peribadi.
“Dalam kes ini, pihak polis juga telah menyita sebuah Perodua Alza dan wang tunai RM1,200,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan di Facebook Polis Johor hari ini.
Jika disabut kesalahan, suspek akan ditahan di Pusat pemulihan Akhlak (PPA) selama dua tahun dan perintah sekatan.
Polis rampas dadah, Inspektor jual balik dadah pada sindiket seperti dimaklumkan Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang akhbar di IPK Johor hari ini./Gambar FB Polis Johor
Dalam perkembangan berasingan, Ayob Khan berkata, dua anggota berpangkat Sub Inspektor dan Koperal, masing-masing berumur 59 dan 35 tahun yang bertugas di IPD Muar pula ditahan pada Khamis lepas (18 Mac).
Katanya, ia melibatkan operasi oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar.
Menurut beliau, kedua-duanya disyaki melakukan pemerasan terhadap seorang individu di Parit Jawa, Muar selepas individu terbabit ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu.
“Bagi melindungi kegiatan dadah tersebut, dua anggota polis itu telah meminta wang sebanyak RM3,000 sebagai wang perlindungan, namun, mereka hanya menerima wang sebanyak RM2,800 daripada individu terbabit,” katanya.
Lepaskan suspek Macau Scam, ini khianat terang-terangan
Katanya, kedua-dua anggota polis terbabit disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan direman dua hari sehingga semalam sebelum diberi jaminan polis.
Sementara itu, Ayob Khan berkata tiga anggota polis dijatuhi hukuman dan perintah tahanan mengikut Seksyen 6(1) ADB LLPK 1985 selama dua tahun, masing-masing di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) di Simpang Renggam, dekat Kluang dan Batu Gajah, Perak manakala seorang lagi dikenakan perintah sekatan mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama selama dua tahun di PPA, Raub, Pahang.
Keempat-empat anggota berpangkat Koperal dan Lans Koperal berkenaan dikenakan tindakan selepas didapati membantu menguruskan kemasukan bekalan dadah ke lokap tahanan IPD Kota Tinggi, Disember tahun lepas.
sumber : https://utusantv.com/2021/03/21/polis-rampas-dadah-inspektor-jual-balik-pada-sindiket/?fbclid=IwAR1wy-4OLLtuTePhSTyEksMsgIXJZii-08B27Fj6ISOUjpdKh_8ILjmWOgo