Ayob Khan kena saman RM50 Juta

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah berhubung notis saman fitnah RM50 juta dituntut seorang peguam, Kamal Hisham Ja’afar.

Ayob berkata, pihaknya sedang menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah selepas menerima notis itu menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates pada 10.30 pagi, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, 2 Mei lalu.

“Itu hak dia, kita tunggulah perbicaraan di mahkamah nanti. Sepatutnya tidak timbul isu ini (saman fitnah).

“Dia (Kamal Hisham) ditangkap dan dituduh di mahkamah (kes penipuan pengiklanan), bila di mahkamah, dia boleh bela diri,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Notis tuntutan itu adalah berkaitan sidang akhbar dibuat Ayob berkaitan seorang peguam memperdaya sebuah syarikat pengiklanan dengan menyamar sebagai peguam Istana Johor yang diadakan pada 22 April lalu.

Dalam sidang akhbar itu, Ayob didakwa memaklumkan terdapat laporan polis yang mendakwa peguam itu menyamar sebagai peguam Istana Johor selain peguam berkenaan melakukan kesalahan jenayah berkaitan pengubahan wang haram.

Kamal Hisham, dalam notisnya mendakwa Ayob mengeluarkan beberapa kenyataan yang berniat jahat dan tidak benar.

Susulan itu, Ayob dituntut untuk membayar pampasan berjumlah RM50 juta atas kerosakan imej dan reputasi akibat kenyataan yang dikeluarkan.

Sementara itu, Ayob turut memaklumkan pihaknya belum menerima notis tuntutan secara rasmi berhubung dakwaan sebuah syarikat perkapalan yang beralamat di Cook Island menuntut ganti rugi RM123 juta.

“Kita sudah pun berurusan dengan peguam yang dilantik syarikat perkapalan itu, saya tidak pasti macam mana ada individu yang lain kata kita disaman.

“Tidak ada benda (notis) yang rasmi, hanya melalui media sosial, itu bukan cara kita nak keluarkan ‘notice of demand’, itu tak ikut prosedur,” katanya.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/09/saman-rm50-juta-biar-mahkamah-buat-keputusan-kata-ayob/