Azalina bidas Ahmad Maslan untuk adakan sidang khas Parlimen

Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said menolak surat Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang mahukan ahli Parlimen Umno menyokong gesaan supaya sidang khas Parlimen diadakan berhubung proklamasi darurat.

Azalina berkata, sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat dia adalah individu yang berpegang teguh kepada demokrasi berparlimen.

“Ia wajar ditekankan bahawa fasal 14(1) ordinan yang baru saja dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini memperuntukan bahawa Parlimen hanya boleh dipanggil sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di- Pertuan Agong.

“Oleh itu, pada hemat saya, kebarangkalian Yang di-Pertuan Agong memanggil satu persidangan Parlimen dalam masa terdekat ini ataupun membatalkan proklamasi dan ordinan tersebut sama sekali sangatlah tipis.

“Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, maka dengan segala hormatnya saya menolak dan tidak bersetuju dengan permohonan persetujuan ke atas isu tersebut seperti mana yang diminta oleh YB Pontian melalui surat 18 Januari 2021,” katanya dalam surat yang dihantar kepada setiausaha agung Umno itu.

Awal hari ini, ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa mendakwa setiausaha agung Umno itu mengantar surat kepada ahli parlimen Umno untuk menyatakan persetujuan dengan gesaan agar satu sidang parlimen khas diadakan berhubung proklamasi darurat.

Perkara itu didedahkan oleh setiausaha agung BN yang dipecat itu yang mahukan Ahmad merujuk pakar berkaitan terlebih dulu sebelum meminta wakil rakyat parti menyatakan persetujuan.

“SUA Umno menulis kepada MP dan memberi masa kurang dari 24 jam untuk menyatakan persetujuan menggesa YDP Agong memanggil sidang parlimen, kononnya di bawah perkara 150(3) Perlembangaan Persekutuan.

“Elok SUA Umno itu rujuk constitutional expert (pakar perlembagaan) supaya kelihatan lebih cerdik hal undang-undang,” ciap Annuar di Twitternya, pagi ini.

Dalam pada itu Azalina mencadangkan Yang di-Pertuan Agong agar menubuhkan satu Majlis Khas Parlimen (bipartisan) serta memohon wakil Umno dapat dilantik sepecat mungkin ke dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang bakal ditubuhkan nanti.

Katanya lagi, kegusaran dan rintihan rakyat di kawasan Parlimen masing-masing boleh dibawa ke perhatian menteri Umno secara rasmi dan tidak rasmi dalam mesyuarat Kabinet.

“Mencadangkan kepada YDPA untuk menubuhkan satu Majlis Khas Parlimen (bipartisan) bagi menasihati Seri Paduka Baginda berkenaan hasil pemantauan, penilaian, dan perbincangan isu-isu berkaitan hak asasi dan kebebasan rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Majlis tersebut boleh terdiri daripada ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dari parti kerajaan dan parti pembangkang serta diberi kuasa untuk memanggil rakyat bagi memberikan pandangan, input dan cadangan,” katanya.

sumber: MK