Azam Baki miliki 2 juta saham, MP PKR bongkar di parlimen

Seorang MP hari ini mendedahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM memiliki hampir 2 juta saham.

Memetik laporan Malaysiakini, Sivarasa Rasiah (PH-Sungai Buloh) dalam Dewan Rakyat hari ini memfailkan usul tergempar di mana beliau memohon agar parlimen membincangkan dakwaan KP SPRM, Azam Baki memiliki saham di dua buah syarikat disenarai di bursa melebihi daripada jumlah yang dibenarkan.

Menurutnya, Azam menjadi pengarah siasatan SPRM pada tahun 2015 dan 2016 dan memiliki 930,000 saham dalam sebuah syarikat pada 30 April 2015, dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.

Sivarasa turut mendakwa Azam memiliki 2,156,000 waran dalam sebuah syarikat senarai awam pada 21 Mac 2016.

Mengulas lanjut, Sivarasa memetik Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan 3/2002 dimana seseorang pegawai awam boleh membeli saham tetapi tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, antaranya tidak melebihi lima peratus daripada modal dibayar atau RM100,000 pada nilai semasa.

Beliau dalam Dewan Rakyat hari ini berkata, “Seksyen 10 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam ( Kelakuan dan Tatatertib ) 1993 juga mewajibkan pegawai awam mengisytiharkan semua harta mereka kepada Ketua Jabatan mereka.”

Ahli parlimen PKR itu berkata terdapat persoalan berbangkit yang perlu dijawab di parlimen, sesuai dengan fungsi pengawasannya.

Antaranya ialah persoalan mengenai sumber dana dan pengisytiharan aset kepada pihak atasan.

MP Sungai Buloh itu juga meminta pihak berkuasa menyiasat kesahihan dakwaan pemilikan saham berkenaan.

-Mh daily-