Azhar lantik Azalina jadi timbalan speaker sementara

Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said kembali mempengerusikan sidang Dewan Rakyat petang ini.

Katanya, tindakan itu selepas beliau diminta Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun untuk menggalas jawatan Timbalan Speaker buat sementara waktu.

“Saya nak maklum, saya telah diminta oleh Speaker di bawah Peraturan Mesyuarat 7(3) untuk mempengerusikan mesyuarat bagi sementara waktu,” kata Azalina selepas kembali menjadi Timbalan Speaker.

Azalina melepaskan jawatan Timbalan Speaker pada 23 Ogos lalu atas faktor “moral, peribadi dan konflik politik”.

Kemunculan Azalina mempengerusikan sidang Dewan Rakyat petang ini dipersoalkan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta penjelasan mengenai peraturan dan kenapa pelantikan sementara itu tidak dimaklumkan lebih awal.

Azalina berkata, Azhar akan membuat penjelasan berhubung pelantikan sementara itu kemudian.

“Sementara sahaja, macam (kahwin) mut’ah sekejap sahaja, Isnin, Selasa depan mungkin orang lain. (Pelantikan ini) di bawah kuasa (Peraturan Mesyuarat) 7(3).”

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dalam kenyataan berasingan berkata, mengikut Peraturan Mesyuarat 7(3), Speaker boleh meminta seorang Ahli Parlimen mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

“Yang Dipertua boleh meminta seorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu buat sementara dengan tidak payah diberitahu Majlis Mesyuarat dan ahli yang mempengerusikan ini tetaplah terserah kepadanya semua kuasa Yang Dipertua sehingga beliau kembali mengetuai mesyuarat.”

Pagi tadi, Azalina ketika membahaskan titah Agong, memberi gambaran akan mempengerusikan sidang Dewan Rakyat pada petang ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan usul menangguhkan pemilihan Timbalan Speaker baharu.

Katanya, penangguhan itu untuk kerajaan membuat pindaan Perlembagaan bagi menambah satu lagi kerusi untuk jawatan Timbalan Speaker, daripada dua ketika ini kepada tiga orang.

Beliau berkata, satu daripada tiga jawatan Timbalan Speaker itu akan diisi wakil pembangkang.

Minggu lalu, pihak kerajaan dilapor mencalonkan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Azalina itu, sementara blok pembangkang mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/15/azalina-dilantik-semula-jadi-timbalan-speaker-sementara/