Azmin bidas netizen yang kata kilang sektor utama sumbang kes Covid-19

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menepis dakwaan sektor pembuatan dan perkilangan merupakan penyumbang terbesar jumlah kes Covid-19 yang tinggi ketika ini.

Menterinya, Azmin Ali selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Pusat Konvensyen Setia City berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), kes Covid-19 membabitkan sektor pembuatan dan perkilangan hanya sekitar 5% hingga 10%.

“Jadi, tidak benar untuk meletakkan kesalahan kepada sektor ekonomi, khususnya sektor pembuatan,” katanya mengulas desakan untuk kilang ditutup susulan jangkitan Covid-19 masih tinggi walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.

Berdasarkan data KKM, katanya, 75% kes positif ketika ini membabitkan kes sporadik yang dikesan di dalam komuniti dan baki 25% berpunca daripada pelbagai kluster, termasuk tempat kerja dengan hanya sebahagian daripada sektor pembuatan.

Azmin bagaimanapun tidak menafikan jangkitan Covid-19 dan kluster berlaku kerana perkhidmatan perlu, termasuk sektor pembuatan dan perkilangan dibenarkan beroperasi sepanjang “total lockdown”.

“Tidak seperti sektor pendidikan dan sosial kerana kita tutup sepenuhnya, tapi sektor ekonomi, khususnya perkhidmatan perlu kita benarkan untuk melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Malah, Malaysia sebagai negara yang menjadi sebahagian rantaian bekalan global, kita tidak mahu ada gangguan bekalan makanan, keperluan asas yang juga melibatkan barang keperluan untuk kesihatan.”

Beliau mengingatkan sektor pembuatan dan perkilangan terus mematuhi SOP ketat dan majikan diminta melakukan ujian saringan berskala besar secara berkala bagi memastikan penularan jangkitan dapat dielakkan memandangkan kebanyakan kes positif tidak mempunyai gejala.

Dalam pada itu, Azmin berkata, PIKAS yang bermula 16 Jun lalu bertujuan mengelakkan jangkitan terus meningkat dalam kalangan pekerja.

Sehingga semalam, seramai 16,564 pekerja di Selangor, Pulau Pinang dan Johor yang terbabit dalam PIKAS sudah divaksin dan semua pekerja dalam sektor pembuatan serta perkilangan di seluruh negara disasarkan akan menerima vaksin menjelang akhir September untuk mencapai imuniti kelompok.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/28/sektor-pembuatan-kilang-hanya-sumbang-5-10-kes-covid-19-kata-azmin/