Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali melawat bangunan ikonik Hagia Sophia ketika berada di Turki.
Menteri kanan itu berada di Eropah untuk lawatan rasmi dan minggu lalu mengunjungi Austria serta bertemu dengan Menteri Hal Ehwal Digital dan Ekonomi Austria, Margarete Schramböck.
Ketika di Austria juga Azmin berkesempatan mengunjungi sebuah syarikat semikonduktor di Loeben.
Turkey Local Guides, yang menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong, hari ini menyiarkan di Instagramnya foto Azmin di Hagia Sophia, sebuah tempat bersejarah dan pelancongan yang terkenal di Istanbul, Turki.
“Dengan senang hati memandu lawatan Mr Muhammed (sic) Azmin Ali (Menteri Kanan Malaysia). Dia bersedia dan sabar untuk mendengar (mengenai) kisah sejarah Hagia Sophia,” katanya.
Akaun instagram itu pada awalnya berkata ia menjadi pemandu pelancong untuk Azmin dan “keluarganya”. Pun begitu, perkataan “keluarga” itu kemudian dikeluarkan.
Untuk rekod, Bangunan Hagia Sophia – atau Ayasofia – itu asalnya dibina empayar Rom Timur sebagai gereja besar pada abad keenam Masihi sebelum diubah menjadi masjid oleh kerajaan Uthmaniyah pada 1453.
Statusnya sekali lagi bertukar apabila kerajaan sekular Turki menjadikannya muzium pada 1934 dan lebih 50 tahun kemudian Hagia Sophia itu diiktiraf Unesco sebagai sebahagian daripada Kawasan Bersejarah Tapak Warisan Dunia Istanbul.
Pada 11 Julai tahun lalu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan Hagia Sofia akan kembali menjadi masjid selepas mahkamah tertinggi negara itu memutuskan status terdahulunya sebagai muzium tidak sah.
Sementara itu, timbul persoalan mengenai tempoh kuarantin yang akan dilalui Azmin setelah pulang dari program lawatan kerjanya itu.
Pada bulan Februari, Menteri Kesihatan Adham Baba memendekkan masa kuarantin bagi menteri yang pulang dari luar negara dari 10 hari menjadi tiga hari.
Bagaimanapun, Adham berkata SOP kuarantin untuk menteri dilonggarkan tetapi mesti disertakan dengan peraturan perjalanan yang ketat.
Tempoh kuarantin bagi warganegara yang kembali dari beberapa negara dinaikkan dari 10 hari menjadi 14 hari pada bulan April kerana kebimbangan varian baru Covid-19.
Sejak itu, varian Beta (Afrika Selatan) dan varian Delta (India) telah mula menyebar di negara ini.
Varian yang lebih ganas telah dituding punca peningkatan kes Covid-19 di negara ini walaupun dalam keadaan PKP.
Azmin dan anggota kabinet yang lain telah diberi vaksin sepenuhnya.
Vaksin Covid-19 secara dramatik mengurangkan kemungkinan jangkitan yang teruk atau kematian.
Pun begitu, vaksin tidak menjadikan seseorang kebal sepenuhnya terhadap Covid-19.
Beberapa vaksin Covid-19 juga didakwa kurang berkesan terhadap varian Covid-19 yang baru.
Pada masa ini, rakyat biasa dilarang pergi ke luar negara kerana wabak Covid-19.
Namun, pengecualian dapat dibuat untuk keadaan khusus, seperti keadaan darurat dan pengajian di luar negara.
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/582797