Aznil Nawawi berang diugut muflis oleh LHDN jika tidak bayar cukai

Aznil Nawawi berang diugut muflis oleh LHDN jika tidak bayar cukai

Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi meluahkan rasa terkilan apabila digesa oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membayar cukai dalam keadaan ekonomi kini tenat disebabkan pandemik Covid-19.

Kecewa terhadap agensi tersebut, Aznil berkata tidak wajar jika memaksa orang ramai membayar cukai sedangkan ramai rakyat terjejas pendapatan hampir dua tahun disebabkan .

“Kes positif harian pun dah mencecah 17,000 dan dah nak masuk dua bulan kita semua berkurung. Berapa lama lagi nak hidup begini dan bagaimana dengan status ekonomi kita. Dan, bagaimana pula dengan nasib ibu bapa kita?

“Saya sendiri, semua projek terpaksa dibatalkan dan LHDN ada hati hantar surat menyuruh saya bayar cukai tertangguh.

“Saya memang tiada masalah dengan hal pembayaran cukai sebelum ini dan mampu bayar tapi dengan Covid nak masuk dua tahun, tentu ekonomi saya terjejas dan tak mampu nak bayar seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Aznil berkata beliau juga tidak terkecuali terjejas pendapatan serta mengharapkan kerajaan faham dengan keadaan rakyat ketika ini.

“Kalau betul kerajaan prihatin, di mana pertimbangan untuk kita semua? Kalau sebelum Covid-19, bolehlah kita bayar, sekarang dengan semuanya terbatas, bagaimana mahu bayar?

“Sekarang kita fikir macam mana nak hidup hari esok dan hari-hari berikutnya sahaja. Tidakkah berasa malu meminta rakyat bayar cukai pada waktu terdesak seperti sekarang ini,” katanya.

Kata Aznil lagi, beliau turut kecewa apabila menerima surat daripada LHDN seperti mengugut sekiranya gagal melangsaikan tunggakan cukai jika tidak mahu disenaraihitam dan muflis.

“Dalam keadaan sekarang ramai orang mati sebab Covid-19, hilang keluarga dan pekerjaan, LHDN himpit dan ugut nak sekat passport atau perjalanan keluar negara, kemungkinan disenaraihitam dan diisyitiharkan muflis,” katanya.

SUMBER : KOSMO!

COMMENTS