Bahaya kepada semua pengguna jalan raya, ini 19 lokasi panas lumba haram

Berbahaya kepada semua pengguna jalan raya, aktiviti lumba haram masih lagi berleluasa walaupun kerajaan melarang berlumba sehingga membahayakan keselamatan orang ramai.

Baru-baru ini Pengurus Besar Kanan Operasi Plus Malaysia Bhd, Mohd Yusuf Abdul Aziz, mendedahkan terdapat beberapa tempat dikenalpasti sebagai ‘lokasi panas’ bagi aktiviti lumba haram dan samseng jalanan di Lebuhraya Plus.

Menurutnya, pihak Plus dan agensi penguatkuasaan aktif menjalankan operasi membanteras aktiviti lumba haram dan samseng jalanan di kalangan penunggang motosikal membabitkan beberapa laluan utama di lebuh raya Plus.

“Pasukan Plus kini aktif menyertai operasi bersama dengan agensi penguatkuasaan. Ia membabitkan penyertaan anggota PLUSRonda serta kakitangan operasi dan keselamatan trafik yang bertugas di pejabat seksyen kami sepanjang Lebuhraya Plus.

“Kolaborasi Plus bersama agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi penguatkuasaan berkaitan sedia terjalin sejak dahulu lagi,” terang beliau.

Berikut adalah lokasi-lokasi ‘panas’ yang sering dijadikan litar lumba oleh geng motosikal –

  1. Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE)
  2. Jambatan Pulau Pinang
  3. Laluan Juru-Sungai Dua
  4. Laluan Sungai Petani Selatan-Bertam
  5. Laluan Pendang-Gurun
  6. Laluan Alor Pongsu- Bandar Baharu
  7. Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH)
  8. Senawang-Seremban
  9. Ayer Hitam-Machap
  10. Hentian Sebelah Kulai (arah Selatan)
  11. Skudai-Bukit Amber
  12. Persimpangan Dato’ Onn-Persimpangan Pandan
  13. Persimpangan Bukit Indah- Persimpangan Nusa Bayu
  14. Bandar Pulai Jaya
  15. Bukit Raja-Shah Alam
  16. Sungai Besi- Bangi
  17. Nilai-Seremban
  18. Kuala Kangsar-Rawat & Rehat (R&R) Sungai Perak
  19. Plaza Tol Ipoh Utara

Tambah beliau lagi, orang ramai yang melihat kegiatan samseng jalanan boleh berkongsi maklumat melalui talian PLUSLine 1800-88-0000 selain melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Baca juga: Caprice sindir Mondy Tatu ingatkan ‘homeless’ rupanya ada keluarga siap buat ‘live’ lagi