Menerusi video yang dimuat naik oleh @anuarnazif di TikTok, lelaki yang didakwa merupakan warga Bangladesh kelihatan gembira sambil menunjukkan gajinya yang berjumlah sebanyak RM4,200.
Namun demikian, dia menyatakan bahawa dia hanya menyimpan RM200 untuk keperluan makan dan minum, sementara baki gaji akan dihantar ke kampung.
“Satu bulan saya kerja dapat RM4,200. Bos saya sudah kasi saya itu wang. Tapi semua saya kirim kampung, RM200 sahaja saya ambil.
“Saya baju tak ada beli, seluar tak ada beli. Semua duit hantar sama kampung,” katanya.
Di dalam video tersebut, juga kelihatan rakannya yang berbaju warna oren turut tersenyum gembira sambil menunjukkan gaji yang diterimanya dalam bentuk wang tunai.
Difahamkan, kedua-dua warga asing tersebut bekerja di sebuah tapak pembinaan di Johor.
Sehingga kini, video tersebut mendapat 247,500 tontonan, 10,500 tanda suka dan 566 perkongsian.
Tinjauan komen menunjukkan ramai yang kagum dengan semangat mereka yang bekerja di tengah panas demi untuk menyara keluarga di kampung.
“Kadang-kadang kesian tengok dorang kerja keras demi menyara keluarga dekat kampung. Moga rezeki mereka diperluaskan,” komen Naz.
“Saya hormat orang macam ni walaupun penat kerja tengah panas tetapi masih kerja untuk dapatkan rezeki. Siapa sahaja yang sanggup kerja tengah panas,” komen Amir.
Ada juga yang meluahkan gaji tersebut dikategorikan sebagai gaji besar di Malaysia.
“Peh gaji dia lagi besar daripada ‘fresh graduate’. Aku nak dapat RM4,000 pun sakit,” komen Wan.
Baca juga: Tergamam bila ‘technician’ mintak RM12,715 lepas betulkan elektrik, rupanya ada sebab lain..