Banjir teruk di KL, netizen mula anggap teori seluruh Malaysia tenggelam pada 2050 adalah benar

Susulan banjir kilat yang berlaku secara tiba-tiba di sekitar kawasan Kuala Lumpur yang menenggelamkan rumah dan kereta, Netizen mendakwa teori bahawa seluruh bandar Malaysia akan tenggelam pada tahun 2050 adalah benar.

Di Twitter, pengguna @notorioustapir berkongsikan kembali teori tersebut dengan mendakwa 2050 akan jadi tahun bencana paling besar di mana seluruh Malaysia dan juga dunia tenggelam akibat paras air laut meningkat.

Pada masa sama, ada pengguna yang turut memberitahu bahawa Indonesia juga sudah menjangkakan perkara sama berlaku di negara mereka, iaitu di daerah Jakarta.

“Jakarta pun pakar dah menjangkakan seawal tahun 2030, bandar itu akan tenggelam dengan perubahan cuaca yang semakin menggila sekarang ini. Besar kemungkinan ia akan terjadi lebih awal dari 2050,” kata pengguna Twitter.

Untuk makluman, teori tersebut sebenarnya merupakan hasil laporan pusat penyelidikan swasta, Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS).

Pendedahan itu adalah berdasarkan kajian terbaharu Elevation Data Triple Esaimates of Global Vulnerability to Sea-Level Rise and Coastal Flooding terbitan Nature Communications.

Menerusi hasil laporan (Cent-GPS), antara negeri yang dijangka terjejas adalah Perlis, Kedah, Penang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

“Pada tahun 2050 Alor Setar menjadi sebuah pulau; sepanjang kawasan Parit Buntar hingga ke Taiping tidak kelihatan; Lebuhraya Utara-Selatan tenggelam; Bagan Datoh, Teluk Intan, dan Kuala Selangor lenyap; Port Klang tenggelam; Shah Alam menggecil; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertempat di sebelah pantai.

“Muar dan Pekan juga tenggelam; Kuala Terengganu mengecil dan menjadi beberapa buah pulau. Di Sarawak, Kuching juga mengecil dan menjadi beberapa buah pulau,” kata badan penyelidikan swasta itu dua tahun lalu.