Banyak cawangan KFC ‘tutup sementara’ akibat kempen boikot, paling banyak dari dua negeri ini

Akibat kempen boikot berbulan-bulan daripada orang awam banyak cawangan KFC ditutup sementara.

Laporan akhbar harian berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau sebelum ini mendakwa cawangan di Kelantan paling banyak terjejas sehingga 21 cawangan ditutup sementara, manakala Johor 15 cawangan.

Walau bagaimanapun, QSR Brands (M) Holdings Bhd dan KFC Malaysia tidak memperincikan jumlah sebenar cawangan yang terlibat.

Menerusi satu kenyataan, QSR Brands hanya memaklumkan bahawa penutupan sementara cawangan terpilih itu berikutan persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini.

QSR Brands juga berkata penutupan itu adalah sebahagian daripada usahanya menguruskan peningkatan kos perniagaan dan memberi tumpuan kepada operasi perniagaan di kawasan yang lebih baik.

“Kakitangan dari cawangan yang terjejas ditawarkan peluang untuk berpindah ke cawangan yang masih beroperasi sebagai sebahagian daripada strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber dalam zon perniagaan yang menerima pelanggan yang lebih tinggi,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut tentang sumbangan QSR Brand kepada ekonomi melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 ahli pasukan di Malaysia, dengan kira-kira 85 peratus adalah beragama Islam.

“QSR Brands terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami amat percaya rakyat akan mengiktiraf latar belakang Malaysia kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” kata QSR Brands.

Sebelum ini, Nanyang Siang Pau turut mendakwa 108 cawangan KFC telah ditutup buat sementara waktu, berdasarkan data Google Maps.

Selain itu, Singapore Straits Times turut memetik sumber tanpa nama daripada QSR Brands yang mengaitkan penutupan itu berpunca daripada kesan boikot orang awam dan ia boleh dilihat sebagai peluang untuk menghentikan beberapa operasi cawangan KFC.

Terdapat lebih 600 restoran KFC di Malaysia, dikendalikan oleh QSR Brands yang kini dimiliki oleh Johor Corporation iaitu syarikat milik kerajaan negeri Johor.

BACA JUGA Cara ini rupanya buat hati tenang, paling penting jangan putus asa