Banyak serangan kepada saya sekarang, Umno jadi dalang sebenar – Khairuddin

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang secara berterusan mengaitkan dirinya dalam isu membabitkan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Katanya, integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban berasaskan amanah tadbir urus yang meletakkan pertimbangan dosa dan pahala, menjadi teras pentadbiran kementerian dan agensi dibawahnya.

“Kenyataan media sudah dikeluarkan (pihak LGM) bagi menjawab isu yang dibangkitkan. Laporan polis juga sudah dibuat.

“Tindakan saman kepada pihak dan individu yang menyebarkan fitnah sedang diuruskan,” katanya menerusi Facebook (FB).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus dalam posting berlainan malam tadi turut menjelaskan, akaun FB yang sedang memfitnah dirinya dalam isu LGM adalah mesra sebahagian pimpinan UMNO.

“Sebahagian pimpinan UMNO pun sedang bersemangat turut menyerang. Namun ia tidak menghalang saya untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional demi kepentingan ummah. Hubungan baik yang terjalin dengan pimpinan UMNO juga tidak terjejas,” katanya.

Bekas Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Nazlan Idris yang juga Ahli Parlimen Jerantut kelmarin menafikan dirinya terbabit dalam isu LGM Properties Corporation (LGMPC), namun mendakwa wujud campurtangan menteri dalam isu sewaan tanah.

Beliau turut mengesahkan tidak lagi menjadi Pengerusi LGM selepas ditamatkan kontrak pada 14 April lalu dan ditawarkan jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), namun ditolak.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki yang dihubungi semalam juga memaklumkan siasatan berhubung isu itu sedang dijalankan pihaknya.

“SPRM ada menerima aduan berkaitan isu ini dan sedang menjalankan siasatan. SPRM juga akan memanggil bekas pengerusi (LGM) untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada beliau,” katanya.

Sementara itu, LGM dalam kenyataan hari ini menjelaskan, perkara dibangkitkan Ahmad Nazlan mengenai dakwaan campur tangan menteri dalam urusan agensi itu dan LGM Properties Corporation (LGMPC) tidak bertepatan dengan kuasa menteri yang termaktub di dalam akta sedia ada.

Menurut LGM, di bawah seksyen 14 Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996 (Akta 551), menetapkan lembaga hendaklah bertanggungjawab kepada menteri dan beliau boleh memberi arahan selaras dengan akta dan lembaga perlu dengan seberapa segera mungkin, melaksanakan arahan sedemikian.

“Pada 3 Disember tahun lalu, LGM menghantar surat kepada menteri untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan akhir bagi keputusan tender itu.

“Bagaimanapun, menteri pada 7 Januari lalu mengarahkan tempoh pajakan dilanjut kepada 15+10 tahun dan dibuka kembali Request For Proposal (RFP) kepada syarikat yang terbabit dengan proses tawaran sebelum ini.

“Namun, hingga sekarang perkara ini masih dalam proses tindakan di peringkat LGM dan LGMPC, serta belum dimuktamadkan,” kata kenyataan itu.

LGM menjelaskan, proses pajakan tanah Lot 20013 (sebelum ini dikenali Lot 76) bagi tempoh 10+5 tahun sudah dilaksanakan secara tender terbuka dan telus oleh LGMPC pada Oktober 2020.

Lembaga Perolehan LGM membuat keputusan pada 30 November 2020, bahawa syarikat yang berjaya dalam tender adalah Al Noor Foundation dengan harga bidaan tertinggi RM0.70 sekaki, selaras kadar penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH), Kementerian Kewangan.

“Yayasan itu adalah syarikat berhad menurut jaminan yang tidak berasaskan keuntungan dengan majoriti pemegang amanahnya adalah rakyat Malaysia dan bukan milik rakyat Turki sebagaimana kenyataan bekas Pengerusi LGM.

“Kenyataan bekas Pengerusi LGM bahawa menteri mahukan 5+10+10 tahun adalah tidak tepat. Selain itu, kenyataan bahawa hasil yang boleh diperoleh oleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion adalah tidak tepat,” katanya.

Mengenai Lot 20012 (sebelum ini Lot 75) katanya, masih tiada cadangan penjualan oleh Lembaga LGM dan belum diangkat kepada kementerian untuk pertimbangan menteri.

“Pada masa ini, LGM masih membuat semakan berkaitan dengan JPPH dan Jabatan Warisan Negara. LGM menegaskan proses untuk membuat keputusan adalah mengikut tatacara telus dan berintegriti membabitkan keputusan Lembaga Pengarah, diikuti ulasan kementerian untuk diangkat sebagai pengesyoran kepada menteri bagi pertimbangan dan kelulusan sebelum dikembalikan kepada Lembaga Pengarah untuk tindakan,” kata LGM dalam kenyataan itu.

LGM mengambil berat berhubung maklumat separa matang dan terperingkat milik lembaga yang disebarkan serta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk tindakan undang-undang.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/823496/sebahagian-pimpinan-umno-sedang-bersemangat-turut-menyerang