Baru berumur 11 tahun, kanak-kanak ini sudah jadi ibu

Seorang budak perempuan menjadi ibu termuda di United Kingdom (UK) selepas melahirkan anak pada usia 11 tahun.

Budak perempuan itu dikatakan mengandung pada usia 10 tahun dan melahirkan bayinya, awal bulan ini.

The Sun melaporkan, bayi itu dilahirkan ketika usia kandungannya sudah 30 minggu dan dua beranak itu dilaporkan sihat.

Keluarga budak perempuan itu bagaimanapun terkejut dengan berita kelahiran itu berikutan usia anak mereka yang terlalu muda.

Susulan kejadian, ketua perkhidmatan sosial kini sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Sumber berkata, kelahiran itu adalah ‘kejutan terbesar’ bagi keluarga budak perempuan terbabit.

“Budak perempuan itu kini sedang dibantu pakar. Apa yang lebih penting dia dan bayinya selamat.

“Menjadi persoalan kini adalah bagaimana orang di sekelilingnya tidak menyedari perkara itu,” katanya.

Sebelum ini, Tressa Middleton dilaporkan menjadi ibu termuda di UK selepas melahirkan bayi ketika berusia 12 tahun, pada 2006.

Seorang doktor, Carol Cooper berkata, kejadian terbaharu pada budak berusia 11 tahun ini menjadikan kanak-kanak itu sebagai ibu termuda di UK.

“Purata usia kanak-kanak perempuan mencapai usia matang adalah antara lapan hingga 14 tahun.

“Namun, ia boleh menjadi lebih awal kerana berat badan boleh mempengaruhi banyak hormon,” katanya.

Beliau berkata, satu daripada setiap 2,500 kelahiran berlaku terhadap seseorang yang tidak menyedari dirinya mengandung.

Pada 2014, seorang bayi dilahirkan oleh budak perempuan berusia 12 tahun, manakala bapa bayi itu hanya berusia 13 tahun di UK.

sumber : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/06/724401/jadi-emak-pada-usia-11-tahun

COMMENTS