Baru jadi Pengarah JSJN, Ayob Khan dah berjaya rampas dadah lebih RM100 juta

Kegagalan penyewa membayar bil elektrik sebuah kilang di kawasan Perindustrian Pusing di sini membawa kepada pembongkaran wujudnya makmal memproses dadah jenis ketamin.

Memetik dari Malaysiagazzete, bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menyerbu kilang tersebut sebelum merampas dua tan ketamin bernilai RM111.2 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan lebih 16 jam bermula pada 13 Januari kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia 24 hingga 37 tahun yang dipercayai ahli sindiket penyeludupan dan memproses dadah tersebut.

Kata beliau, sindiket itu dipercayai menyewa premis di kilang berkenaan untuk dijadikan makmal dadah dan beroperasi sejak pertengahan tahun lalu.

“Hasil siasatan mendapati mereka yang ditahan terdiri daripada tukang masak (memproses dadah) dan ketamin yang dirampas itu untuk pasaran tempatan.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM111.2 juta dengan bekalan itu boleh digunakan seramai 6.7 juta penagih.

“Kita juga merampas peralatan memproses dadah termasuk bahan kimia, mesin serta lain-lain,” katanya pada sidang media di IPK Perak di sini hari ini.

Dalam serbuan itu polis turut menyita beberapa buah kenderaan, barang kemas dan akaun bank milik suspek dan nilai sitaan secara keseluruhan berjumlah RM200,000.

Antara dadah rampasan..

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, rampasan itu merupakan rampasan kedua terbesar dalam negara membabitkan dadah jenis ketamin selepas pembongkaran sindiket memproses dadah yang sama di Johor awal tahun lalu.

“Kesemua suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, ujian saringan air kencing dua daripada mereka positif dadah selain mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah,” ujar beliau.

Tambah Ayob Khan, pihaknya kini sedang mengesan tiga lelaki lagi berusia lingkungan 23 hingga 44 tahunyang dipercayai terlibat dalam dalam kegiatan tersebut bagi membantu siasatan.

Tiga suspek kini diburu polis bagi membantu siasatan kilang proses ketamin di Perak.

Mereka ialah Mohamad Qaiyyum Mohamad Azhar, 23, yang beralamat terakhir di Taman Muhibbah Batu Maung, Pulau Pinang; Azrul Safuan Mohd Puaad, 28, yang menetap di Kampung Sentosa, Jalan Simpang Taiping dan S. Patmanathan, 44; Jalan Ambar, Alor Setar, Kedah.

COMMENTS