Baru kematian suami, nyawa sendiri pula hilang ditangan anak

Oleh Admin 02

Baru kematian suami, nyawa sendiri pula hilang ditangan anak. Anaknya dikatakan terdengar bisikan suara halus ibunya menyembah berhala hingga dia bertindak menikam leher wanita tersebut dengan pisau.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, mangsa, Rozizah Md. Dom, 63, meninggal dunia di lampung Paya Luboh, Tangga Batu dengan dua kesan tikaman di leher.

Memetik Kosmo, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.05 petang dan sepasukan pegawai dikejarkan ke lokasi.

Ditikam di bahagian kiri dan kanan leher

Katanya, hasil pemeriksaan dalam sebuah bilik menjumpai mayat seorang warga emas dengan kesan tikaman di bahagian kiri serta kanan leher dipercayai dilakukan oleh ahli keluarganya sendiri.

“Kita berjaya menangkap suspek yang berada di lokasi dan hasil soal siasat dia mengaku telah menikam mangsa menggunakan pisau pemotong sayur.

“Katanya sebelum kejadian dia terdengar bisikan halus memberitahu warga emas itu menyembah berhala,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tinggal bersama suspek dan anak perempuannya

Tambahnya, mangsa yang tinggal bersama suspek dan seorang lagi anak perempuannya berusia 30-an telah diserang ketika baru sahaja selesai mandi.

Ujarnya lagi, senjata yang dipercayai digunakan suspek turut dijumpai di bahagian belakang rumah.

“Selepas ditikam, difahamkan mangsa masih bernyawa dan suspek telah menyerahkan pisau itu kepadanya, namun wanita itu mencampakkannya ke luar tingkap bilik.

“Kita telah menjumpai senjata tersebut yang sepanjang 26 sentimeter,” katanya.

“Kita masih melakukan siasatan sama ada suspek di bawah pengaruh dadah atau tidak ketika melakukan perbuatan itu.

“Untuk makluman suami mangsa baharu sahaja meninggal dunia pada bulan lalu, manakala suspek merupakan seorang duda,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Baca Juga: Antara perjuangan Mat Kilau dan imaginasi liar puak kiasu

Baca Juga: Bapa terkedu lihat anak dan cucu berlumuran darah, menantu bogel naik motor