Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi yang baru menyertai Bersatu berkata, beliau tidak mampu membawa sebarang kemajuan kepada pengundi kawasannya jika terus menjadi wakil pembangkang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu berkata, Lahad Datu mempunyai empat Dewan Undangan Negeri berkeluasan besar yang memerlukan peruntukan banyak untuk dibangunkan setanding kawasan lain.
Justeru, bekas pemimpin Warisan itu berkata, beliau melihat Bersatu yang turut berada dalam kerajaan mampu membawa kemajuan kepada kawasan diwakilinya.
“Tiga tahun lebih lagi untuk bertahan dalam pembangkang, apa yang anda jangka jika saya bertahan di situ? Pembangkang tidak bawa apa-apa,” katanya dalam sidang media menjelaskan sebab beliau menyertai Bersatu.
“Pilihan raya selepas ini saya akan jumpa pengundi saya dan minta undi lagi, apa yang orang akan kata? Bukankah dengan sendirinya itu memberitahu kepada kita tak payahlah nak jumpa rakyat, pasal dah jadi pembangkang lama tiada bawa apa-apa…dan anda kembali kepada rakyat dan minta undi, saya rasa itu bukan perkara yang bagus.”
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin mengumumkan Mohamaddin secara rasmi menjadi ahli Bersatu, selepas permohonannya diterima mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi yang dipengerusikan Presidennya, Muhyiddin Yassin.
Pada 30 Okt lalu, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Warisan kerana mahu memberi tumpuan memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama.
Mengulas lanjut, Mohamaddin mendakwa Lahad Datu agak terkebelakang dari segi pembangunan menyebabkan beliau nekad menyertai parti itu.
“Jadi, dengan harapan saya dah masuk Bersatu, bolehlah bawa manfaat kepada rakyat di kawasan saya,” katanya.
sumber : FMT