Selama ini, bangsa melayu sudah terbiasa dengan suasana majlis kahwin orang melayu di Malaysia. Tapi jarang sekali kita merasai pengalaman ke majlis kahwin bangsa lain.
Pelbagai persoalan timbul dalam benak fikiran tentang soal kos perkahwinan bangsa lain.
Semalam memetik Thevocket, tular senarai iklan harga pakej kahwin di sebuah hotel di Malaysia. Iklan yang dipaparkan telah menimbulkan kontroversi apabila kos yang ditawarkan berbeza mengikut bangsa.
Tiga harga pakej perkahwinan yang ditawarkan adalah RM788 bagi setiap meja untuk majlis perkahwinan Melayu, RM1,888 bagi majlis perkahwinan Cina, dan RM1,388 untuk majlis perkahwinan India.
Perbezaan ketara dalam harga ini menimbulkan persoalan mengenai rasional di sebalik struktur harga yang berbeza mengikut kaum.
Walaupun pada pandangan awal, perbezaan harga ini mungkin kelihatan tidak adil, beberapa netizen di subreddit cuba menjelaskan faktor di sebalik perbezaan harga ini.
Seorang pengguna menyatakan bahawa harga lebih rendah untuk perkahwinan Melayu mungkin disebabkan oleh faktor ketiadaan minuman keras.
Namun, perbincangan ini tidak berhenti di situ. Beberapa netizen kemudiannya berdebat sama ada alkohol benar-benar termasuk dalam harga pakej perkahwinan tersebut.
Memetik Thevocket lagi, seorang lagi pengguna, yang mendakwa pernah menguruskan acara untuk Hari Raya, Tahun Baru Cina, dan Deepavali, memberi pandangan berdasarkan kos masakan sahaja, tanpa mengambil kira faktor alkohol.
Menurutnya, majlis Melayu adalah yang paling murah kerana banyak hidangan seperti satay dan lemang boleh dibeli daripada pembekal dengan harga yang berpatutan.
Selain itu, masakan Melayu juga menggunakan rempah ratus Asia yang lebih murah.
Sebaliknya, masakan India dikatakan menggunakan rempah ratus dan herba yang lebih mahal.
Pengguna tersebut mendakwa bahawa 10 gram saffron boleh mencecah harga RM60.
Selain itu, majlis perkahwinan India biasanya menghidangkan kambing yang lebih mahal berbanding daging lembu.
Bagi majlis perkahwinan Cina, pengguna tersebut menjelaskan bahawa banyak hidangan yang disediakan adalah mahal seperti udang XXL, perut ikan, abalon, sayur lotus, dan ikan besar.
Selain faktor kos masakan, seorang lagi netizen memberi pandangan bahawa majlis perkahwinan Melayu, di samping makanannya yang lebih murah, majlisnya juga lebih sederhana.
Mereka mendakwa bahawa tetamu biasanya hanya akan makan dan kemudian pulang, menjadikan majlis ini kurang formal dan tidak melibatkan kos yang tinggi.
Sebaliknya, majlis perkahwinan India dianggap lebih ‘grand’ dan formal, dengan hidangan makanan yang lebih banyak berbanding perkahwinan Melayu.
Pengguna tersebut bagaimanapun tidak memberikan pandangan mengenai perkahwinan Cina kerana tidak mempunyai pengalaman hadir ke perkahwinan Cina.
Baca: Tak perlu tunggu berjam-jam, ini trik mudah defrost ayam beku dari peti sejuk