Cik B, anak kepada usahawan sensasi Datuk Seri Vida, terkejut apabila mengetahui bahawa ibunya membayar sebanyak RM420,000 untuk kos penginapan mereka sepanjang berada di Makkah.
Dalam perkongsian video yang dimuat naik di aplikasi TikTok milik Vida, Cik B atau Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 19 tahun, dilihat sedang melakukan room tour atau jelajah hotel tempat mereka menginap semasa menunaikan ibadah umrah.
Cik B juga didalam video tersebut dilihat sempat bertanyakan kepada Vida berkenaan harga bilik hotel tersebut dan terkejut apabila mendapat tahu jumlah sebenar.
“Berapa harga bilik hotel ini? Ya Allah (terkejut mendengar Vida memberitahu harganya RM420,000).
“Saya nak review bilik kami sepanjang 10 hari di Makkah dengan pemandangan cantik Masjidil Haram.
“Ada tempat nak cuci baju, dapur memasak, mesin pencuci pinggan, tempat ambil wudhuk,” katanya.
Melalui perkongsian video yang dibuat, yang lebih menarik ialah bilik hotel tersebut benar-benar menghadap Masjidil Haram.
Menurut Hasmiza Othman, 53 tahun, bayaran yang dibuat sangat berbaloi kerana lokasinya berdekatan dengan masjid dan menawarkan pemandangan yang menakjubkan.
“Berbaloi dengan harga dapat pemandangan macam ini dan dekat sahaja turun bawah terus ke Masjidil Haram,” ujarnya.
Pada 31 Mac lalu, Vida menunaikan ibadah umrah bersama anak-anaknya iaitu Cik B dan Kacak atau Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 17, dua minggu sebelum menyambut Aidilfitri.