Batu-batu yang dilontar oleh lebih dua juta jemaah haji di Mina tapi ramai yang tidak tahu ke mana perginya batu itu yang dilakukan oleh jemaah haji.
Antara ritual haji yang dilakukan jemaah di Mekah pada musim haji ialah melontar di tiga jamrah yang melambangkan lontaran batu ke arah syaitan, iaitu di hari pertama Tasyrik, dan hari keempat ibadah itu.
Setibanya mereka di jamrah, jemaah akan melaungkan Allahuakbar (Allah Maha Besar) melontar batu pertama di Jamrah Al-Sugra (tiang kecil), kemudian di Jamrah Al-Wusta (tiang sederhana) dan yang terakhir di Jamrah Al-Aqaba (tiang terbesar) masing-masing sebanyak tujuh kali.
Tentu sekali, sebilangan besar daripada kita tertanya-tanya apa akan jadi pada batu-batu berkenaan selepas dilemparkan oleh jemaah haji di kompleks jamrah di Mina.
Menjawab pertanyaan itu, Ahmed Al-Subhi, salah seorang pekerja Kidana Development Company yang juga syarikat pemaju utama tapak suci yang berpusat di Mina berkata, kerja-kerja mengumpul semula batu-batu berkenaan akan bermula sebaik jemaah selesai melaksankan ritual haji itu, lapor portal berita Arab News.
Menurut beliau, kesemua batu yang dilemparkan itu akan terkumpul di bawah tanah kompleks jamrah yang berada pada kedalaman 15 meter.
Kerja-kerja mengumpul batu-batu itu akan dilakukan oleh jentera dan sebaik semuanya dikumpulkan, proses saringan dan penyemburan air dimulakan untuk membersihkannya daripada kotoran.
Selesai sahaja proses itu batu-batu kemudian dibawa oleh kenderaan untuk disimpan dan akan digunakan untuk musim haji akan datang pula.
Pakar-pakar menganggarkan bertan-tan batu diperlukan dalam proses melontar itu berdasarkan jumlah jemaah haji yang berhimpun di Tanah Suci.
Pada musim haji tahun ini, pihak berkuasa Arab Saudi menganggarkan sekitar dua juta jemaah yang menunaikan Rukun Islam kelima itu menuju ke kompleks jamrah di Mina pada hari Rabu.
Sebelum itu, kesemua jemaah terlebih dahulu melakukan ritual miqat atau bermalam di Muzdalifah.
Mina merupakan tempat yang dipercayai syaitan cuba mempengaruhi Nabi Ibrahim AS supaya tidak tunduk kepada kehendak Allah.
Tujuh batu dilemparkan ke setiap tiang sebagai simbolik terhadap memperingati penolakan Nabi Ibrahim terhadap syaitan.