Bekas MB Johor Osman Sapian diserang angin ahmar, tidak sedarkan diri

Bekas MB Johor Osman Sapian diserang angin ahmar, tidak sedarkan diri

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian diserang angin ahmar ketika berada di rumahnya pagi tadi, dan kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Senator Md Nasir Hashim yang mengesahkan perkara itu berkata, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas dirawat di sebuah hospital swasta di Johor Bahru.

“Benar. Datuk Osman diserang angin ahmar dan masih belum sedarkan diri.

“Keluarga Osman memaklumkan bahawa beliau mengalami serangan angin ahmar antara jam 10 dan 11 pagi sebelum segera dikejarkan ke hospital,” katanya memetik Harian Metro.

Md Nasir berkata, beliau dimaklumkan keadaan Osman itu ketika berada di Dewan Negara dan menyifatkannya berita yang mengejutkan pemimpin dan ahli Bersatu Johor.

Beliau berkata, Osman juga dijangka akan dipindahkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur hari ini.

“Setakat ini, kami (pemimpin Bersatu) masih belum tahu keadaan terkini beliau. Namun diharapkan semua pihak mendoakan supaya Datuk Osman kembali sembuh,” katanya.

Osman, 70, adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada Bersatu yang dilantik selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), dan menjawat jawatan itu selama 11 bulan sebelum melepaskan jawatan pada April 2019.

Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor dan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam.

sumber : https://suara.tv/13/10/2021/osman-sapian-tidak-sedarkan-diri-diserang-angin-ahmar/

COMMENTS